Topik diikuti
Pergi ke BHkuParti politik baharu Wawasan dijadual tanding Pilihan Raya Negeri Sembilan
Parti politik baharu Wawasan dijadual tanding Pilihan Raya Negeri Sembilan
Dijenamakan semula daripada nama asalnya, Parti Cinta Malaysia
Parti politik baharu Wawasan dijadual tanding Pilihan Raya Negeri Sembilan
PETALING JAYA: Parti politik baharu, Parti Wawasan Negara (Wawasan), mengesahkan akan menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, pada 1 Ogos ini.
Presidennya, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata Wawasan akan mengadakan perbincangan lanjut dengan kepimpinan Perikatan Nasional (PN) berhubung jumlah kerusi yang akan ditandingi pada PRN Negeri Sembilan itu.
Beliau berkata perbincangan dengan kepimpinan PN, khususnya parti-parti komponen gabungan, adalah untuk menentukan agihan kerusi.
“Ya, kami akan mengambil bahagian dalam PRN Negeri Sembilan dan daripada perbincangan itu nanti, kami akan memastikan sejumlah kerusi diperuntukkan kepada parti.
“Secara kasarnya, perbincangan sudah pun bermula, cuma saya tidak dapat mengesahkan jumlah kerusi itu sehingga mesyuarat rasmi PN diadakan.
“Saya bukan seorang yang suka membuat pengumuman lebih awal sebelum mendapat persetujuan jawatankuasa,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Wawasan yang pertama, di Petaling Jaya, Selangor, pada 9 Julai, lapor Berita Harian Malaysia.
Mengulas lanjut, Datuk Hamzah berkata sebelum ini, Wawasan memilih untuk tidak bertanding pada PRN Johor atas pertimbangan untuk mengelakkan perpecahan dalam kalangan parti gabungan.
“Tetapi pada PRN Negeri Sembilan nanti, insya-Allah kami akan masuk gelanggang. Dan gelanggang kali ini adalah sesuatu yang mungkin berbeza dengan apa yang berlaku di Johor.
“Maka sebab itu, hari ini kami bincang bagaimana kalau kami masuk gelanggang nanti atas bendera mana, siapa pengarah pilihan raya, semua ini kami bincang secara terperinci,” katanya.
Mengenai kebenaran menukar nama Parti Wawasan Negara, Datuk Hamzah berkata parti itu sudah menerima surat daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) pada 7 Julai lalu dan ia sudah diluluskan.
“Wawasan sudah pun mendapat kelulusan menukar nama, alamat, kebenaran pindaan undang-undang di bawah Seksyen 11, serta menggunakan bendera, lambang, tanda atau lencana di bawah Seksyen 50.
“Dalam masa yang sama, parti juga memperkenalkan gagasan Konsensus Nasional Baharu yang dibina berasaskan tiga tonggak utama iaitu Matlamat Bersama, Kemakmuran Bersama dan Tadbir Urus Berperikemanusiaan sebagai hala tuju perjuangan parti,” katanya.
Untuk rekod, Wawasan adalah parti politik yang dijenamakan semula daripada nama asalnya, Parti Cinta Malaysia (PCM).
