KOTA KINABALU: Parti Solidariti Tanah Airku (Star Sabah) dijangka keluar daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) susulan pertemuan tertutup selama tiga jam antara pemimpin parti itu pada malam 1 Oktober.
Parti Maju Sabah (SAPP) juga berkemungkinan akan menyusul, dengan kedua-dua pihak dijangka memuktamadkan keputusan mereka dalam masa terdekat.
Presiden Star Sabah, Datuk Seri Jeffrey Kitingan, yang sebelum ini memberi amaran akan meninggalkan GRS jika terlalu banyak kerusi negeri diberi kepada sekutu persekutuan, Pakatan Harapan (PH), mengesahkan pada pagi 2 Oktober bahawa partinya sudah membuat keputusan.
“Ya… kami sudah buat pendirian, sangat jelas,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
“Tiada kira-kira angka. Mereka cuba memujuk kami. Tetapi tiada pertengkaran. Ia berlangsung secara baik dan penuh hormat, seperti sepatutnya dalam politik kerana kita akan bertemu lagi selepas pilihan raya negeri,” tambahnya.
Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee, ketika dihubungi berkata beliau akan menunggu pengumuman rasmi daripada Star Sabah sebelum mengumumkan langkah lanjutan partinya.
Namun, keadaan politik dalam GRS kekal tidak menentu dengan rundingan saat akhir menjadi perkara biasa dalam kalangan pemimpin Sabah bagi mengelakkan krisis politik.
Datuk Kitingan sejak sekian lama menegaskan GRS seharusnya bertanding secara bersendirian, dengan alasan pengundi Sabah mahukan gabungan parti tempatan dan bukannya blok yang terikat dengan pakatan nasional.
Titik perpecahan berlaku apabila beliau dimaklumkan bahawa Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor, dilaporkan bersetuju memberi lebih banyak ruang kepada PH, membolehkan gabungan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu bertanding kira-kira sepertiga daripada kerusi pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Pada mulanya, GRS merancang bertanding di 55 daripada 73 kerusi Sabah, manakala PH diberi baki 18 kerusi.
Namun didakwa berlaku persetujuan baru, bahawa PH akan diberi peluang bertanding antara 21 dengan 23 kerusi.
Menurut sumber yang rapat dengan rundingan itu, perdebatan mengenai sama ada GRS perlu bergerak solo berakhir dengan keputusan 6–2, hanya Star dan SAPP menentang kerjasama berterusan dengan PH.
Enam parti lain yang memilih mengekalkan kerjasama dengan PH ialah Gagasan Rakyat Sabah (parti Datuk Hajiji); Parti Bersatu Sabah (PBS); United Sabah National Organisation; Parti Cinta Sabah; Parti Harapan Rakyat Sabah; dan Liberal Democratic Party (LDP).
Sumber menyifatkan suasana mesyuarat itu berlangsung mesra walaupun wujud perbezaan pendapat.
Mesyuarat yang dipengerusikan Datuk Hajiji di kediaman rasmi ketua menteri di Sri Gaya bermula sekitar 7 malam.
Jika pengunduran Star disahkan, ia boleh mencetuskan keretakan besar dalam gabungan itu, khususnya dalam kalangan parti dominan Kadazandusun Murut seperti PBS.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg