Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Parti Warisan tanding solo di pilihan raya negeri Sabah

Aug 28, 2025 | 11:48 AM
Warisan, Sabah, pilihan raya
Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. - Foto fail

KOTA KINABALU (Sabah): Parti Warisan (Warisan) sebulat suara memutuskan untuk bertanding di semua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17), tanpa bekerjasama dengan mana-mana parti politik lain.

Presiden Warisan yang juga mantan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata keputusan itu dimuktamadkan pada Mesyuarat Majlis Tertinggi Warisan yang dipengerusikannya pada 27 Ogos.

“Ini keputusan parti, bukan keputusan presiden seorang,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat berkenaan di Kota Kinabalu, lapor Astro Awani.

Datuk Shafie berkata terlalu banyak campur tangan dan pengalaman perebutan kerusi dengan rakan pakatan menerusi kerjasama politik sebelum ini, menyebabkan Warisan mengambil keputusan untuk parti itu bertanding solo dalam PRN17.

“Pengalaman kerjasama sebelum ini bersama pelbagai parti politik gagal membuahkan hasil positif kerana lebih tertumpu kepada perebutan kerusi serta jawatan.

“Kebimbangan mereka (parti lain) hanya berapa kerusi yang dapat, kemudian minta jawatan menteri. Kalau tidak dapat, mereka melompat lagi. Itu pengalaman yang boleh memecah-belahkan perpaduan rakyat Sabah.

“Parti telah memutuskan secara sebulat suara untuk bertanding 73 kerusi DUN. Maknanya tiada gabungan atau kerjasama dengan parti lain. Jangan percaya jika ada gambaran sebaliknya,” katanya.

Mengikut peruntukan, DUN Sabah ke-16 akan terbubar secara automatik pada 11 November ini, sekiranya ia tidak dibubarkan lebih awal, sekali gus membuka laluan kepada PRN17.

Datuk Mohd Shafie menegaskan Warisan hanya akan bekerjasama dengan rakyat Sabah, dengan memberi tumpuan memenuhi keperluan asas seperti bekalan air, elektrik dan prasarana jalan raya di seluruh negeri itu.

Parti pemerintah ketika ini, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menegaskan bahawa ia akan meneruskan kerjasamanya dengan Pakatan Harapan (PH) yang menerajui Kerajaan Persekutuan bagi PRN Sabah kali ini.

Keputusan yang dibuat menyusuli mesyuarat majlis tertinggi GRS pada 10 Ogos dipengerusikan oleh Pengerusi GRS yang juga Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, itu menamatkan spekulasi mengenai strategi pilihan raya yang akan diambil gabungan itu.

Setiausaha Agung GRS, Datuk Masidi Manjun, berkata kerjasama GRS yang menaungi lapan parti politik di Sabah dengan PH, membantu menstabilkan landskap politik Sabah dan membolehkan kerajaan negeri memberi tumpuan kepada keutamaan pembangunan, termasuk menyelesaikan masalah infrastruktur asas.

Bagaimanapun, kerjasama PH-GRS masih diselubungi tanda tanya berikutan Barisan Nasional (BN) yang juga sekutu PH di peringkat Kerajaan Pusat dilihat tidak sehaluan dengan GRS, berikutan usaha Umno Sabah untuk menyingkirkan Datuk Hajiji pada Januari 2023.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg