Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pilihan raya Sabah: BN sedia jalin kerjasama dengan parti selain PH

May 19, 2025 | 1:25 PM
Pengerusi Barisan Nasional (BN) merangkap Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (tiga, kiri) memalu gong sebagai simbolik pelancaran program Gerak17 Umno Sabah di Tenom, Sabah pada 18 Mei.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) merangkap Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (tiga, kiri) memalu gong sebagai simbolik pelancaran program Gerak17 Umno Sabah di Tenom, Sabah pada 18 Mei. - Foto BERNAMA

TENOM (Sabah): Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata gabungan itu hanya akan menjalinkan kerjasama dengan parti yang mempunyai matlamat sama dalam membangunkan Malaysia dan menyatukan rakyat.

Datuk Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno, berkata BN masih terbuka untuk berbuat demikian walaupun telah memutuskan akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah.

“Kita tidak pernah tutup (pintu kerjasama), tetapi kita jangan buka seluas-luasnya kerana ada musang berbulu ayam (akan) masuk untuk merosakkan rumah kita,” katanya ketika berucap merasmikan program Gerak17 Umno Dewan Undangan Negeri Kemabong di Tenom, Sabah, lapor Astro Awani.

Datuk Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata trend politik dunia kini menyaksikan pembentukan kerajaan melalui kerjasama dengan beberapa parti.

“Pilihan yang terbaik adalah kerjasama antara BN, PH serta parti yang sependapat, ini kita lakukan kerana dalam mana-mana pilihan raya di seluruh dunia, dalam kajian saya terdapat 77 negara tidak dapat membentuk kerajaan secara dominan.

“Oleh itu, kita tidak perlu tamak kuasa... kita perlu yakin berkongsi kuasa untuk penyatuan, perpaduan serta untuk kesepakatan politik dan itu adalah jalan yang terbaik untuk kita lakukan,” katanya.

Pada 8 Mei, Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan yang juga Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, dalam kenyataan bersama mengesahkan kededua parti akan bekerjasama bagi PRN Sabah.

Datuk Ahmad Zahid turut meminta semua bahagian Umno di Sabah agar saling membantu dalam melaksanakan gerak kerja bagi memastikan kemenangan calon yang bertanding pada PRN17 Sabah.

Sementara itu, portal berita Buletin TV3 melaporkan amaran Datuk Ahmad Zahid supaya BN Sabah tidak lagi ditipu buat kali kedua pada PRN17, seperti tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sabah yang tidak sehaluan dengan kepimpinan BN selepas menang PRN16 lalu.

Datuk Ahmad Zahid turut mengingatkan semua jentera parti agar tetap berjuang bersama-sama bagi membantu kemenangan BN pada PRN17 akan datang.

“Cukuplah jangan tipu dua kali. Umno dan BN Sabah kali ini mesti lebih bijaksana untuk menentukan undi kita, jangan tertipu buat kali kedua,” katanya.

Terdahulu pada Februari 2023, lima Adun Umno di Sabah, mengumumkan keluar parti itu, dan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) yang dipimpin Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg