Topik diikuti
Pergi ke BHkuAnwar: Tidak ada ura-ura Bersatu mahu sertai PH
Anwar: Tidak ada ura-ura Bersatu mahu sertai PH
Anwar: Tidak ada ura-ura Bersatu mahu sertai PH
TOKYO: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata beliau tidak mendengar sebarang ura-ura mengenai kemungkinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan menyertai Pakatan Harapan (PH), menyusuli perkembangan hubungan parti itu dengan Parti Islam SeMalaysia (PAS).
Pengerusi PH itu berkata pendekatan politik yang diamalkan pihaknya ketika ini adalah berasaskan rundingan dan kerjasama, bukannya percaturan yang boleh menjejas hubungan antara parti.
“Tak ada lagi, ura-ura pun tak ada. Kita ini perkahwinan politik nak cerai, talak, kahwin itu bagi saya bukan cara kitalah,” katanya pada sidang media bagi menutup lawatan rasmi selama tiga hari ke Jepun di Tokyo, pada 10 Jun, lapor Berita Harian Malaysia.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Bersatu mungkin cuba menyertai PH selepas parti itu tidak lagi bekerjasama dengan PAS.
Datuk Anwar berkata setakat ini Kerajaan Perpaduan pada peringkat Persekutuan kekal berfungsi dengan baik dan mendapat sokongan berterusan daripada parti yang membentuk gabungan berkenaan.
“Setakat ini Kerajaan Perpaduan masih teguh walaupun pada peringkat negeri sudah ada yang berbeza pendapat sedikit.
“Saya belum dengar lagi apa-apa pandangan, malah dari segi pimpinan Jemaah Menteri yang ada masih tuntas, konsisten menyatakan Kerajaan Perpaduan peringkat kebangsaan harus kukuh,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata tidak akan terbabit dalam sebarang langkah yang boleh dianggap mengkhianati rakan dalam gabungan sedia ada.
Katanya, kerjasama dipersetujui sebelum ini perlu dihormati demi memastikan kestabilan politik negara terus terpelihara biarpun situasi itu berbeza pada peringkat negeri.
“Saya tidak mahu terbabit dalam apa-apa langkah, atau bincang soal PH mengkhianati sahabat. Peringkat negeri itu keputusan mereka sendiri dan mereka harus hadapinya,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan PAS secara rasmi menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu berkuat kuasa 8 Jun.
Ketetapan itu diputuskan pada Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 8 Jun, selepas mengambil kira laporan, kajian dan penilaian semasa terhadap hubungan kedua-dua parti.
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, dalam kenyataan berkata parti itu memperakukan keputusan Mesyuarat Majlis Syura Ulama pada 2 Jun lalu berhubung pertimbangan dasar, hukum dan maslahat kerjasama politik PAS, atas prinsip penyatuan ummah.
Ia menyebabkan Bersatu dukacita terhadap keputusan PAS itu, namun akan terus kekal berada dalam Perikatan Nasional (PN) sebagai parti komponen gabungan itu.
