Umno Johor menafikan dakwaan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, bahawa Institusi Diraja campur tangan dalam urusan politik parti, sambil mengesahkan laporan polis akan dibuat bagi membolehkan siasatan dijalankan.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor merangkap Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata dakwaan beliau pernah memaklumkan kepada Mohd Puad bahawa pihak istana “mengarahkan” pembubaran Dewan Negeri Johor adalah tidak benar.

Sebaliknya, beliau menjelaskan pembubaran Dewan Negeri dibuat selepas mendapat kebenaran Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, mengikut peruntukan Fasal 23 Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.

“Menteri Besar tidak boleh membubarkan Dewan Negeri Johor sesuka hati. Pembubaran perlu melalui proses yang ditetapkan oleh Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor dan hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan.

“Mendapat titah perkenan ialah satu proses perlembagaan dan sama sekali tidak bermaksud menerima arahan atau campur tangan politik,” katanya dalam satu kenyataan pada 25 Jun.

Datuk Onn Hafiz berkata dakwaan Datuk Mohd Puad berpotensi mewujudkan persepsi bahawa Institusi Diraja mencampuri urusan politik Umno Johor, sekali gus menyentuh sensitiviti berkaitan institusi beraja.

Jelasnya, walaupun setiap individu berhak berbeza pandangan atau meninggalkan parti, kenyataan yang melibatkan Institusi Diraja perlu dibuat secara bertanggungjawab.

“Umno Johor akan membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dan tindakan lanjut dijalankan oleh pihak berkuasa.

“Saya menyeru semua pihak supaya menghormati Institusi Diraja, mematuhi Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor serta tidak memperalatkan institusi tersebut dalam pertelingkahan politik,” katanya.

Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Kulai yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kulai, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, berkata beliau turut akan membuat laporan polis berhubung kenyataan Datuk Mohd Puad.

Menurutnya, dakwaan berkenaan bukan sahaja bercanggah dengan penjelasan Menteri Besar, malah boleh mengelirukan rakyat serta menjejaskan keharmonian awam.

“Dalam politik, perbezaan pendapat adalah perkara biasa dan setiap individu bebas membuat pilihan. Namun kebebasan tersebut bukan lesen untuk memperalatkan Institusi Diraja atau memutarbelitkan proses perlembagaan demi membentuk persepsi yang mengelirukan masyarakat,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Timbalan Pengerusi Umno Johor, Datuk Seri Ahmad Maslan, menyifatkan tindakan Datuk Mohd Puad meninggalkan Umno sukar difahami secara rasional.

Beliau berkata berdasarkan maklumat yang diterimanya, Datuk Mohd Puad dikatakan kecewa apabila hasrat supaya anaknya dicalonkan bagi menggantikan beliau di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit tidak dipenuhi.

“Saya setuju anak muda diberi peluang, tetapi tidak semestinya anak beliau. Politik ini satu pertandingan maraton, bukan larian 100 meter.

“Saya doakan anak beliau terus tabah dan setia berjuang dalam Umno. Cuba bertanding jawatan lebih tinggi dalam parti. Mana tahu pada masa hadapan boleh dipertimbangkan menjadi calon,” katanya.

Terdahulu, Datuk Mohd Puad mengumumkan keluar Umno berkuat kuasa serta-merta dengan mendakwa Umno Johor tidak lagi bebas membuat keputusan dan dipengaruhi oleh Institusi Diraja.

Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu turut mendakwa Menteri Besar pernah memaklumkan kepadanya bahawa pembubaran Dewan Negeri dibuat atas arahan pihak istana, dakwaan yang kini dinafikan secara tegas oleh Datuk Onn Hafiz.

Datuk Mohd Puad sebelum ini juga mengesahkan tidak mempertahankan kerusi DUN Rengit pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor atas faktor usia.