Muhyiddin: Krisis dalaman tidak kuburkan Bersatu
Perjelas tindakan tegas terhadap segelintir pemimpin baru-baru ini bertujuan selesaikan kemelut parti
KUALA LUMPUR: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin, menafikan sekeras-kerasnya ramalan bahawa parti itu sudah terkubur akibat krisis dalaman.
Beliau menjelaskan, tindakan tegas terhadap segelintir pemimpin baru-baru ini bertujuan menyelesaikan kemelut parti, dan bukannya petanda Bersatu – komponen Perikatan Nasional (PN) – sedang menuju kehancuran.
“Mungkin ramai yang mengikuti perkembangan yang sedang atau sudah berlaku dalam Bersatu, cuma saya ingin menyatakan bahawa tidaklah tepat bagi banyak pihak yang meramalkan Bersatu ini sudah terkubur. Jauh sekali.
“Alhamdulillah, dengan tindakan yang sudah pun kita ambil, bukan setakat mereka yang melakukan kesalahan daripada sudut politik dalam parti dihadapkan ke Lembaga Disiplin, tetapi kita juga sudah selesai mengambil tindakan penambahbaikan dalaman.
“Selain itu, ada beberapa pemimpin Bersatu yang membuat pengumuman pelbagai dengan mengisytiharkan bahagian partinya sudah pun bubar, sedangkan hanya Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) saja yang boleh berbuat demikian.
“Jadi, kenyataan yang dibuat sesetengah pihak itu tidak tepat. Tujuannya tidak lain adalah untuk memberikan gambaran kononnya kita berhadapan dengan masalah,” katanya ketika berucap pada majlis iftar bersama pengamal media di Kuala Lumpur, pada 11 Mac, lapor Berita Harian Malaysia.
Pada masa sama, Tan Sri Muhyiddin turut meminta pimpinan PN supaya yakin bahawa Bersatu mampu menguruskan soal dalaman parti itu.
“Kita mengambil satu tindakan yang pantas untuk menyelesaikan masalah kita.
“Apabila berlaku peristiwa baru-baru ini, ada kelompongan dari segi kedudukan kepimpinan di peringkat negeri dan bahagian, sebuah jawatankuasa yang dipimpin Naib Presiden parti, Datuk Dr Radzi Jidin, dan Setiausaha Agung, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, mengambil langkah pantas.
“Agak lebih daripada jangkaan saya, cepat sekali untuk menyusun semula barisan kepimpinan di negeri dan kawasan yang terbabit,” katanya.
Selain itu, Tan Sri Muhyiddin mengumumkan penubuhan Sekretariat Bersama bagi memantapkan Ikatan Prihatin Rakyat (IPR), yang akan dianggotai Setiausaha Agung daripada lebih 10 parti di bawah gabungan yang baru dibentuk itu.
Mantan Pengerusi PN itu berkata, IPR mesti diterjemahkan kepada satu hubungan yang lebih bermakna pada masa hadapan dan kemungkinan untuk bekerjasama sebagai satu pasukan bersama PN untuk jangka masa panjang.
“Saya selaku salah seorang Timbalan Pengerusi PN akan membawa perkara itu ke Majlis Tertinggi PN untuk menimbangkan bentuk kerjasama yang harus kita jalin.
“Ia bukan setakat yang sudah sedia ada secara longgar saja tetapi khususnya untuk menghadapi pilihan raya akan datang.
“Antara pertimbangan yang mungkin kita buat adalah sama ada IPR boleh menyertai PN secara langsung atau menubuhkan pakatan pilihan raya dalam masa pilihan raya,” katanya.

