PAS sahkan Hadi tidak teraju PN sebagai Pengerusi baru

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PAS sahkan Hadi tidak teraju PN sebagai Pengerusi baru

Jan 26, 2026 | 7:55 PM

PAS sahkan Hadi tidak teraju PN sebagai Pengerusi baru

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Timbalan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) merangkap Setiausaha Agung Parti Islam SeMalaysia (PAS), Datuk Seri Takiyuddin Hasan, pada sidang media di Kuala Lumpur, pada 26 Januari.
Timbalan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) merangkap Setiausaha Agung Parti Islam SeMalaysia (PAS), Datuk Seri Takiyuddin Hasan, pada sidang media di Kuala Lumpur, pada 26 Januari. - Foto FMT

Parti Islam SeMalaysia (PAS) mengesahkan Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang, tidak akan dinamakan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang baru, sekali gus menyaksikan gabungan pembangkang itu bakal dipimpin oleh tokoh bukan dalam kalangan presiden parti.

Perkara itu disahkan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hasan, yang turut memaklumkan parti itu yang akan mengambil alih jawatan tertinggi dalam PN bakal menamakan nama pemimpin lain pada mesyuarat luar biasa Majlis Tertinggi PN yang akan diadakan pada 29 Januari ini di Kuala Lumpur.

Datuk Takiyuddin juga menjelaskan bahawa perlembagaan PN tidak mengehadkan jawatan tertinggi itu hanya untuk disandang presiden parti.

“Perlembagaan menyatakan pengerusi PN hendaklah dipilih oleh ahli Majlis Tertinggi dan hendaklah memegang jawatan itu selagi dikehendaki Majlis Tertinggi.

“Tiada satu perkataan pun di sini (dalam perlembagaan parti) yang mengatakan pengerusi PN mesti dipilih daripada kalangan presiden parti komponennya,” kata Datuk Takiyuddin dalam sidang media di Kuala Lumpur pada 26 Januari.

Datuk Takiyuddin sebagai Timbalan Setiausaha Agung PN, telah menjalankan tugas untuk memanggil mesyuarat luar biasa itu menerusi surat yang dikeluarkan pada 23 Januari lalu, selepas Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, meletakkan jawatan.

Peletakan jawatan Datuk Mohamed Azmin menyusuli pengunduran Tan Sri Muhyiddin sebagai Pengerusi PN yang diumumkan pada 30 Disember 2025.

Tan Sri Muhyiddin memimpin pakatan pembangkang itu selama lima tahun sejak 2020, dan dalam pengumuman peletakan jawatan terbabit, Ahli Parlimen Pagoh (Johor) itu memaklumkan ia berkuat kuasa 1 Januari 2026. 

Turut meletak jawatan ialah beberapa Pengerusi PN negeri antaranya Johor; Perak; Negeri Sembilan dan Selangor; selain Ketua Penerangan, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin.

Mengulas mengenai Tan Sri Muhyiddin yang tidak dijemput untuk menghadiri mesyuarat pada 29 November dan mencetus rasa tidak puas hati pemimpin Bersatu, Datuk Takiyuddin berkata jemputan mesyuarat hanya dikeluarkan kepada ahli Majlis Tertinggi gabungan itu.

“Tan Sri Muhyiddin telah meletakkan jawatan dan beliau meletakkan tarikh ia berkuat kuasa pada 1 Januari 2026. Jadi mengikut pandangan undang-undang, peletakan jawatan beliau sudah berkuat kuasa. 

“Walaupun demikian (peletakan jawatan itu) tetap perlu dibawa ke Majlis Tertinggi PN untuk diluluskan,” kata Datuk Takiyuddin.

Ketika ini, dua nama daripada PAS disebut-sebut bakal dilantik sebagai Pengerusi PN yang baru iaitu Timbalan Presiden, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, dan Naib Presiden yang juga Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Sebelum ini Tan Sri Abdul Hadi hanya mengesahkan PAS akan menerajui gabungan PN, namun tidak menyatakan nama tokoh pengganti bagi mengisi jawatan pengerusi yang ditinggalkan Tan Sri Muhyiddin.

Selain dianggotai PAS, gabungan PN turut terdiri daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin; Parti Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg