Hadi nafi Muhyiddin kembali teraju PN
Beliau tegaskan pendirian PAS yang tetapkan calon Pengerusi PN adalah daripada PAS
MARANG (Terengganu): Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS), Tan Sri Abdul Hadi Awang, menafikan dakwaan mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sudah dipersetujui untuk kekal sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN).
Tan Sri Abdul Hadi, yang juga Ahli Parlimen Marang, menegaskan pendirian PAS kekal konsisten berdasarkan keputusan resolusi muktamar parti yang menetapkan calon Pengerusi PN adalah daripada PAS.
Bagaimanapun, jelasnya, pelantikan bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin sebagai Pengerusi PN belum dimuktamadkan.
Katanya, PAS juga belum menerima sebarang jemputan rasmi daripada PN bagi membincangkan pelantikan pengerusi baru.
“Setakat ini kita belum menerima jemputan lagi, jadi kita tunggulah, tetapi belum ada keputusan dibuat,” katanya menjelaskan kelewatan melantik pengganti Tan Sri Muhyiddin bukan kerana perbezaan pendirian parti, sebaliknya soal pengurusan dan pentadbiran.
“Insya-Allah bila-bila masa saja boleh diputuskan,” tambahnya yang menjangkakan ia mungkin dimuktamadkan dalam tempoh satu atau dua minggu lagi kerana PN perlu membuat persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), lapor Berita Harian Malaysia.
Tan Sri Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), sebelum ini, mengumumkan untuk meletak jawatan Pengerusi PN pada 1 Januari 2026, selepas lima tahun mengetuai gabungan itu sejak 2020.
Berikutan itu, timbul pelbagai spekulasi calon pengganti dengan antara nama disebut adalah Tan Sri Abdul Hadi sendiri dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Mengulas cadangan kerjasama politik atau kolaborasi agung, Tan Sri Abdul Hadi berkata PAS tidak akan menerima cadangan itu kerana mengandungi pelbagai perkara yang tidak dipersetujui.
Mengenai penyertaan Kongres India Malaysia (MIC) dalam PN, beliau menjelaskan, ia bukan isu baru kerana parti komponen Barisan Nasional (BN) itu sudah diterima masuk ke PN.
Tan Sri Muhyiddin, pada 22 Januari, dilapor mengesahkan gabungan itu bersetuju menerima MIC sebagai salah satu parti komponen, dalam mesyuarat yang diadakan pada 2025.
Bagaimanapun, Tan Sri Muhyiddin mengesahkan PN masih menunggu maklum balas positif terhadap pelawaan tersebut demi mengukuhkan gabungan pembangkang itu.
Penjelasan itu masih samar berikutan wakil MIC dilihat hadir pada Perhimpunan Agung Umno 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur baru-baru ini, sekali gus memungkinkan parti itu tidak meneruskan rancangan menyertai PN.

