KUALA LUMPUR: Bertindak atas laporan polis oleh seorang penolong pegawai daerah pada awal November 2024, Polis Diraja Malaysia (PDRM) membongkar kegiatan memindah milik tanah secara tidak sah membabitkan ‘orang dalam’ di sebuah Pejabat Daerah dan Tanah di Selangor.
Terbaru, Bukit Aman sudah menahan 17 individu, termasuk tujuh kakitangan pejabat tanah sejak September 2024 kerana disyaki terbabit kartel berkenaan membabitkan tanah seluas 9.4 hektar bernilai RM7.1 juta ($2.16 juta).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata mereka yang ditahan terdiri daripada 10 lelaki dan tujuh wanita, masing-masing berusia di antara 26 dengan 59 tahun.
“Secara keseluruhan, 17 individu ditahan untuk membantu siasatan.
“Mereka terdiri daripada tujuh kakitangan pejabat tanah, termasuk seorang penolong pegawai hartanah dan 10 orang awam daripada pelbagai latar belakang berbeza.
“Setakat ini, tujuh kes sedang disiasat membabitkan tanah seluas 21 ekar atau lebih 9.4 hektar dengan nilai kerugian keseluruhan berjumlah RM7.1 juta,” katanya lapor Berita Harian Malaysia.
Datuk Ramli berkata pengadu terbabit tampil membuat laporan polis selepas mendapati wujud beberapa transaksi pindah milik tanah yang mencurigakan dan berlaku secara tidak sah.
Pengadu turut melaporkan terdapat kehilangan beberapa dokumen membabitkan borang pindah milik tanah daripada bilik kebal jabatan berkenaan.
Mengenai perkembangan siasatan, Datuk Ramli berkata susulan tangkapan yang dibuat, polis mengesan wujudnya sindiket dan kartel di dalam pejabat tanah itu sendiri yang mendalangi kegiatan pindah milik tanah secara tidak sah.
Menurutnya, sindiket terbabit mengeksploitasi sistem dengan memadam serta menghilangkan rekod-rekod penting berkaitan pindah milik hartanah.
“Siasatan polis mendapati modus operandi sindiket menggunakan ‘orang dalam’ untuk mengenal pasti maklumat mengenai hartanah yang dormant atau tidak aktif.
“Sindiket kemudian akan mengupah ‘orang dalam’ juga untuk membuat perubahan terhadap hak milik hartanah kepada beberapa lapisan penama sebelum menjualnya kepada pembeli lain,” katanya.
Pada April 2024, pelakon Amar Bahrin, berkongsi di media sosial berhubung tanah milik ibunya di Semenyih, Selangor, yang mempunyai dua geran berbeza dan seterusnya menuntut jawapan daripada beberapa pihak berkaitan berhubung perkara itu.
Amar dalam perkongsian menerusi media sosial mendedahkan kejadian itu disedari keluarga ketika Allahyarham bapanya masih hidup, apabila meninjau kawasan tanah untuk diusahakan, namun terkejut apabila mendapati sebuah rumah dibina di situ.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg