Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kebakaran dewan di Perak: Penganjur majlis hari lahir ditahan

Nov 5, 2024 | 11:31 AM
Kebakaran Dewan Arena Square di Teluk Intan, Perak, yang dipercayai berpunca daripada percikan bunga api dan mercun ketika sambutan hari lahir yang diadakan di dewan berkenaan, pada 3 November malam.
Kebakaran Dewan Arena Square di Teluk Intan, Perak, yang dipercayai berpunca daripada percikan bunga api dan mercun ketika sambutan hari lahir yang diadakan di dewan berkenaan, pada 3 November malam. - Foto JABATAN BOMBA DAN PENYELAMAT MALAYSIA PERAK

TELUK INTAN (Perak): Tindakan menggunakan mercun dan bunga api tanpa kebenaran untuk memeriahkan sambutan hari lahir, dipercayai menjadi punca Dewan Arena Square, dekat Jalan Raja di Teluk Intan, Perak, terbakar, pada 3 November malam.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Penolong Pesuruhjaya Ahmad Adnan Basri, berkata kebakaran sekitar 11 malam itu berlaku ketika majlis sambutan hari lahir diadakan di dewan berkenaan.

Katanya, seorang lelaki berusia 24 tahun yang merupakan penganjur majlis tersebut ditahan di rumahnya pada 3 petang 4 November untuk siasatan lanjut.

“Lelaki warga tempatan itu ditahan susulan siasatan awal yang dijalankan pihak forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia mendapati kebakaran tersebut dipercayai berpunca daripada percikan bunga api yang ditembak ke arah bumbung dewan.

“Ketika kejadian, dewan tersebut disewa oleh penganjur daripada Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) untuk sambutan hari lahir yang dihadiri kira-kira 500 tetamu,” katanya dalam kenyataan pada 5 November, lapor Kosmo!.

Menurutnya, ketika majlis berkenaan pihak penganjur telah menyediakan pelbagai jenis mercun dan bunga api, bagaimanapun lelaki terbabit yang merupakan pemandu lori itu tidak memiliki lesen sah untuk penggunaan bahan api tersebut.

“Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Teluk Intan pada 5 November untuk permohonan reman bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan,” katanya.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957, manakala anggaran jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak berkuasa.

Encik Ahmad Adnan mengingatkan orang ramai bahawa penggunaan mercun dan bunga api tanpa lesen adalah satu kesalahan yang boleh mendatangkan risiko keselamatan.

“Justeru, dinasihatkan tidak menggunakan mercun atau bunga api tanpa kebenaran, bagi mengelakkan insiden yang tidak diingini terutama dalam majlis yang membabitkan kehadiran awam dan jemputan yang ramai,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg