Topik diikuti
Pergi ke BHkuPDRM tegas mahu vape diharam sepenuhnya susulan ancaman dadah sintetik ‘Piu Piu’
PDRM tegas mahu vape diharam sepenuhnya susulan ancaman dadah sintetik ‘Piu Piu’
PDRM tegas mahu vape diharam sepenuhnya susulan ancaman dadah sintetik ‘Piu Piu’
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengulangi pendirian agar peranti rokok elektronik atau vape wajar diharamkan sepenuhnya menyusuli kemunculan dadah sintetik baharu dikenali sebagai ‘Piu Piu’, yang dikesan dicampurkan dalam cecair vape.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata langkah itu diambil kerana penggunaan peranti itu kini disalahgunakan secara meluas oleh sindiket pengedaran dadah untuk mengaburi mata pihak berkuasa.
“Isu utama pada masa ini bukanlah sama ada vape itu merupakan satu peluang perniagaan untuk golongan tertentu atau tidak, tetapi disalahgunakan secara berbahaya dengan dicampurkan dadah baharu atau bahan kimia psikoaktif.
“Ia (vape) juga sudah menjadi satu kebanggaan kepada remaja, jadi kita perlu sekat gejala ini dari awal,” katanya, lapor Kosmo!.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Program Lawatan Hospital sempena Peringatan Hari Polis Ke-219 di Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-Kanak (HPKK) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di Kuala Lumpur, pada 11 Jun.
Tan Sri Ayob berkata banyak negara luar telah mengharamkan vape.
Lantaran itu, Malaysia juga perlu mempunyai kehendak politik untuk membanterasnya.
Menurut beliau, keputusan mengharamkan penggunaan peranti itu melibatkan bidang kuasa lain seperti Kementerian Kesihatan.
“Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) akan terus melaksanakan pemantauan dan operasi berskala besar secara berterusan termasuk ke atas premis jualan vape bagi menyekat penularan dadah baharu,” ujarnya.
Tan Sri Ayob juga menegaskan PDRM, khususnya, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), akan terus mengambil tindakan terhadap anggota dan pegawai pasukan itu yang didapati bersekongkol dengan sindiket dadah.
“Sebelum ini, tidak dinafikan kita juga pernah menahan pegawai kanan polis, yang juga bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di sebuah negeri di Pantai Timur, kerana terlibat dalam dadah. Tindakan sudah pun diambil,” ujarnya.
Sebelum ini, media melaporkan JSJN menahan enam lelaki termasuk pembekal vape yang disyaki mengandungi dadah, susulan penularan beberapa video di media sosial memaparkan individu berada dalam keadaan khayal secara keterlaluan, baru-baru ini.
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, dilaporkan berkata pihaknya memandang serius penyalahgunaan vape yang dikhuatiri menjadi medium normalisasi budaya penyalahgunaan bahan terlarang serta gaya hidup tidak sihat.
