Topik diikuti
Pergi ke BHkuPolis M’sia berkas pembekal vape, cecair dadah furanyl fentanyl nilai RM4.6j dirampas
Polis M’sia berkas pembekal vape, cecair dadah furanyl fentanyl nilai RM4.6j dirampas
Polis M’sia berkas pembekal vape, cecair dadah furanyl fentanyl nilai RM4.6j dirampas
KUALA LUMPUR: Beberapa pembekal rokok elektronik atau vape diberkas, menyusuli penularan video memaparkan beberapa individu khayal dipercayai selepas mengambil cecair vape diracuni dadah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, tindakan pantas pihaknya berjaya mengesan, lalu menahan individu terbabit di sekitar Selangor dan Johor.
“Menerusi Op Vape 1.0 dilaksanakan bersama pelbagai agensi penguatkuasaan di seluruh negara, sebanyak 1,670 premis diperiksa.
“Rampasan keseluruhan bernilai RM4.6 juta ($1.48 juta) berjaya dilakukan termasuk cecair vape disyaki mengandungi dadah jenis furanyl fentanyl,” katanya dalam satu kenyataan pada 19 Mei, lapor Berita Harian Malaysia.
Menurutnya, JSJN komited mempergiat operasi dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak terlibat dalam aktiviti pengedaran vape mengandungi bahan terlarang.
Katanya, trend penggunaan rokok elektronik dalam kalangan remaja kini semakin membimbangkan kerana berpotensi menjadi pintu masuk kepada penyalahgunaan dadah yang lebih serius serta mencemarkan nilai moral masyarakat.
Baru-baru ini, Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh, menyuarakan kebimbangan serius tentang penyalahgunaan dadah dalam kalangan remaja, khususnya apabila kanak-kanak seawal 12 tahun disahkan positif dadah sintetik.
Beliau mendedahkan contoh kes murid sekolah di Kelantan yang didapati mengambil dadah ‘Mushroom’ yang mudah didapati melalui cecair vape.
“Ini sangat bahaya. Kalau mereka terlibat, mereka akan ada masalah mental, kecenderungan bunuh diri tinggi, hidup dalam kemurungan dan halusinasi,” katanya.
Menurut Datuk Ruslin, dadah jenis fentanyl, kemudaratannya lebih 50 peratus berbanding ganja.
Datuk Hussein pula sebelum ini berkata, dadah furanyl fentanyl yang juga diberi jolokan ‘zombi’ yang dipercayai 50 ke 100 kali lebih kuat daripada morfin, dikesan dijual dalam pasaran vape secara terbuka kepada pelanggan tetap.
Malaysia ketika ini sedang menuju ke arah pengharaman penuh penggunaan dan penjualan vape.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, pengharaman vape yang dijangka dilaksanakan pada 2026 itu, selaras hasrat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk membanteras isu penyalahgunaan cecair vape yang dicampur bahan sintetik, seperti dadah.
