Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pegawai polis berhibur di pusat hiburan KL positif 4 jenis dadah

Apr 21, 2025 | 1:02 PM
Seorang ketua balai polis di Kuala Lumpur didapati positif empat jenis dadah ketika ditahan semasa asyik berhibur di sebuah pusat hiburan.
Seorang ketua balai polis di Kuala Lumpur didapati positif empat jenis dadah ketika ditahan semasa asyik berhibur di sebuah pusat hiburan. - Foto hiasan ASTRO AWANI.

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai kanan polis berpangkat Inspektor ditahan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman selepas berhibur dan mengambil jus disyaki mengandungi dadah di sebuah pusat hiburan di Pandan Perdana, Kuala Lumpur, pada 18 April lalu.

Difahamkan ketua balai polis berusia 43 tahun itu ditahan pada 5.05 petang selepas pemeriksaan mengejut dijalankan JSJN Bukit Aman yang menerima aduan dan maklumat.

“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif empat jenis dadah iaitu amfetamina, metamfetamina, ketamin dan benzo.

“Siasatan awal mendapati suspek mengaku mengambil dadah jenis minuman jus di pusat hiburan berkenaan dan bekalan dadah itu diperoleh seorang lelaki tempatan di tempat berkenaan,” katanya, lapor Astro Awani.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, mengesahkan penahanan pegawai polis terbabit.

“Kes ini disiasat Polis Selangor dan pegawai berkenaan direman dua hari sehingga 21 April bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. 

Sementara itu dalam satu kes berasingan di Georgetown, Pulau Pinang, dua anggota polis dari Unit Rondaan Bermotosikal (URB) direman enam hari oleh Mahkamah Majistret Georgetown, bagi membantu siasatan berhubung dakwaan meminta suapan ketika menjalankan tugas di Bayan Baru, Pulau Pinang.

Majistret Siti Nurul Suhaila Baharin mengeluarkan perintah reman terhadap suspek yang masing-masing berpangkat Lans Koperal dan Koperal berusia 28 dan 39 tahun sehingga 26 April ini.

Terdahulu suspek tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Pulau Pinang pada 20 April dalam keadaan tangan bergari diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dengan memakai baju lokap SPRM berwarna jingga kira-kira 9.50 pagi.

Menurut sumber, kededua anggota itu dipercayai meminta wang suapan daripada pengadu yang dipercayai terbabit dalam kes dadah di sebuah pangsapuri di kawasan Bayan Baru kira-kira 3 pagi, 19 April.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg