ISKANDAR PUTERI: Polis Malaysia menumpaskan satu sindiket dadah antarabangsa dipercayai antara yang terbesar di Johor dengan tangkapan ke atas sepasang kekasih yang mengeksport dadah ke Singapura dan Indonesia.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Penolong Pesuruhjaya Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali, berkata pasangan warga tempatan itu ditahan di sebuah pangsapuri mewah dekat Iskandar Puteri, Johor.
Ia membawa kepada rampasan dadah seberat 121 kilogram (kg) bernilai RM14.39 juta ($4.3 juta) pada 27 Macu.
Menurut Encik Mat Zani, pihaknya bertindak atas maklumat risikan, dan JSJN Bukit Aman serta Ibu Pejabat Polisi Kontinjen (IPK) Johor melancarkan operasi bersepadu yang membawa kepada penahanan pasangan kekasih berusia 28 tahun itu yang disyaki menjadi transporter (pengangkut) sindiket dadah berkenaan.
“Pasangan itu ditahan di tempat letak kereta di pangsapuri mewah dekat Iskandar Puteri, membawa kepada serbuan ke sebuah unit pangsapuri di situ sebelum menjumpai 56 bungkusan pil Ecstasy seberat 83 kg dan 69 bungkusan plastik heroin (31.2 kg) di dalam almari.
“Pemeriksaan lanjut di sebuah bilik lain menemukan pelbagai bahan kimia bersama peralatan memproses dadah.
“Siasatan lanjut mendapati pangsapuri mewah yang disewa RM2,500 sebulan itu dijadikan sebagai stor utama sindiket dadah menyimpan bekalan dadah selain dijadikan makmal mini memproses dadah.
“Dadah yang diproses kemudian diedarkan untuk pasaran Malaysia dan dieksport ke Singapura serta Indonesia menggunakan perkhidmatan kurier,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polisi Daerah (IPD) Iskandar Puteri, pada 8 April, lapor Harian Metro.
Menurut Encik Mat Zani, kesemua 121 kg dadah yang dirampas boleh digunakan oleh seramai 658,000 orang penagih dadah jika ia terlepas ke pasaran.
“Menerusi siasatan, ia mendapati modus operandi sindiket ini adalah dalang utama yang beroperasi dari luar negara memberikan arahan kepada pengangkut menerusi media sosial terutama aplikasi WeChat dan WhatsApp.
“Ia termasuk penghantaran kepada pembeli pasaran Malaysia selain Singapura dan Indonesia yang dihantar melalui syarikat kurier.
“Pengangkut berkenaan dibayar lumayan sehingga RM9,000 bagi setiap transaksi jualan mengikut berat dadah yang berjaya diurus niaga,” katanya.
Encik Mat Zani berkata suspek lelaki berkenaan yang positif dadah dan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes pemerasan dan ugutan pernah ditangkap atas kesalahan dadah di Singapura pada 2015 dan baru dibebaskan dari penjara Singapura pada Februari.
“Polis sedang mengesan dalang utama yang dipercayai dari luar negara selain anggota sindiket lain di Malaysia.
“Bekalan dadah dipercayai dibawa masuk ke sini dari Pantai Timur sebelum ia diproses semula dan dihantar kepada pembeli,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg