Topik diikuti
Pergi ke BHkuPeguam Negara, Menteri DAP tolak Najib diberi tahanan rumah
Peguam Negara, Menteri DAP tolak Najib diberi tahanan rumah
Pelaksanaan hukuman tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Encik Najib Tun Razak, tidak mendapat sokongan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Cik Hannah Yeoh.
Perkara itu terkandung dalam minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang baru dinyahklasifikasikan, dan dikongsikan oleh bekas Ahli Parlimen Parti Tindakan Demokratik (DAP), Encik Tony Pua, di Facebook beliau, pada 18 November.
Berdasarkan beberapa muka surat kandungan minit mesyuarat yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim itu, Tan Sri Mohd Dusuki dan Cik Hannah dilihat telah menyatakan pandangan bahawa hukuman (penjara) Encik Najib perlu diteruskan sehingga 2028, sebagaimana pandangan sebelum ini.
Menurut beliau hukuman tahanan rumah tidak terdapat dalam undang-undang Malaysia, merupakan suatu perkara yang asing dan bukan dalam sistem negara itu, sebagaimana keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Cik Alice Loke, pada 22 Disember 2025.
Tan Sri Mohd Dusuki menyatakan bahawa keputusan itu akan memberi kesan kepada kerajaan khususnya kestabilan politik, ekonomi, pelaburan dan imej negara di peringkat antarabangsa.
Cik Hannah pula menyatakan bahawa pandangan beliau adalah sama seperti pandangan Tan Sri Mohd Dusuki.
Menurut minit mesyuarat itu, Tan Sri Mohd Dusuki dan Cik Hannah juga tidak memberi apa-apa komen terhadap draf Perintah Pengampunan Bersyarat dan syarat-syarat yang dicadangkan memandangkan mereka tidak bersetuju dengan pengampunan bersyarat itu.
Malah, Cik Hannah juga memaklumkan bahawa terdapat perintah pengampunan palsu yang tular di media sosial.
Cik Hannah yang juga pemimpin DAP itu kemudian mencadangkan supaya perintah pengampunan yang dipersetujui pada 18 September itu, ditandatangani oleh pegawai lain seperti Setiausaha Jemaah Menteri, memandangkan ia mempunyai implikasi politik besar dan kesan kepada Kerajaan.
Namun, setelah menimbang pandangan anggota Lembaga Pengampunan, Agong memutuskan agar Cik Hannah menandatangani Perintah Pengampunan Bersyarat tersebut, memandangkan ia merupakan tanggungjawab Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).
Minit mesyuarat itu juga menyebut, setelah meneliti draf dan syarat-syarat yang dibentangkan dan mempertimbangkan nasihat anggota Lembaga Pengampunan, Agong telah bersetuju untuk memberi pengampunan bersyarat melalui pelaksanaan baki hukuman (penjara) sebagai tahanan di rumah berserta syarat banduan membayar denda RM50 juta ($15.72 juta).
Isu tahanan rumah Encik Najib sebelum ini mencetuskan bantahan daripada DAP, dengan seorang pemimpinnya yang juga Menteri Pengangkutan, Encik Anthony Loke, meletakkan jawatan, sebaik bekas Presiden Umno itu dipindahkan ke kediamannya di Taman Duta, Kuala Lumpur, dari Penjara Kajang, Selangor, untuk menjalani hukuman tahanan rumah.
Encik Najib mula menjalani hukuman penjara pada Ogos 2022, selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadapnya, selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan RM42 juta dana SRC International.
Pada 29 Januari 2024, Lembaga Pengampunan dipengerusikan Agong ketika itu, Sultan Abdullah Ahmad Shah, memutuskan untuk mengurangkan hukuman penjara Encik Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun serta denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.