KUALA LUMPUR: Peningkatan kos sara hidup di Malaysia terus memberi tekanan kepada isi rumah berpendapatan rendah dan golongan pekerja miskin, meskipun purata pendapatan isi rumah meningkat, kata Menteri Ekonomi, Encik Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Encik Akmal berkata data daripada Tinjauan Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2024 menunjukkan purata pendapatan isi rumah meningkat daripada RM8,479 ($2,686) pada 2022, kepada RM9,155 pada 2024.

Katanya peningkatan itu mewakili kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 3.8 peratus.

“Secara keseluruhan, data berdasarkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK), Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) dan Indeks Kos Sara Hidup Isi Rumah (IKSH) yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengesahkan bahawa kenaikan harga barangan dan perkhidmatan asas menjejaskan kos sara hidup isi rumah, khususnya dalam kalangan golongan berpendapatan rendah dan pekerja miskin.

“PGK nasional meningkat daripada RM2,589 pada 2022, kepada RM2,705 pada 2024, mencerminkan peningkatan kos sara hidup asas.

“Begitu juga, purata PAKW nasional meningkat daripada RM4,729 sebulan kepada RM4,846 sebulan,” kata Encik Akmal, lapor MalayMail.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Pengkala Chepa dari Perikatan Nasional (PN), Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary, yang meminta Menteri Ekonomi menyatakan sejauh manakah kerajaan telah menjalankan kajian mengenai jurang antara pertumbuhan pendapatan sebenar isi rumah dengan peningkatan kos sara hidup sejak 2018.

Beliau turut meminta menteri menyatakan apakah campur tangan berstruktur yang dirancang, bagi menangani fenomena golongan bekerja tetapi masih miskin, yang semakin meningkat.

Encik Akmal berkata purata perbelanjaan bulanan isi rumah turut meningkat daripada RM5,150 pada 2022 kepada RM5,566 pada 2024, mewakili kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 3.9 peratus.

Menurut beliau isi rumah di kawasan bandar memerlukan PAKW yang lebih tinggi, iaitu RM5,169 sebulan pada 2024, berbanding RM3,712 sebulan bagi isi rumah di kawasan luar bandar.

Jelas beliau antara negeri yang mencatatkan kos sara hidup isi rumah yang tertinggi adalah di Putrajaya (106.3 mata), Kuala Lumpur (106.1 mata) dan Selangor (105.4 mata).

Manakala Kelantan (103.9 mata) dan Kedah (104.6 mata) mencatat kos sara hidup yang terendah.

Encik Akmal berkata kementerian akan terus menangani tekanan kos sara hidup di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi tempoh 2026 hingga 2030, menerusi strategi serampang dua mata, iaitu meningkatkan pendapatan rakyat serta mengawal kenaikan kos barangan dan perkhidmatan.

Antaranya di bawah langkah jangka pendek yang diumumkan dalam Belanjawan 2026, kerajaan akan meneruskan inisiatif seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (Sara) dengan peruntukan melebihi RM15 bilion.

Sebanyak RM3.1 bilion lagi akan diperuntukkan bagi program bantuan kebajikan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk kumpulan rentan, termasuk keluarga miskin, orang kurang upaya (OKU) dan warga emas.

Langkah lain termasuk inisiatif penstabilan harga di bawah Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (Naccol), subsidi bersasar bagi bahan api dan utiliti menggunakan pangkalan data Pangkalan Data Utama (Padu).

Selain itu kerajaan akan memberi tumpuan meningkatkan pendapatan serta pengurangan kos secara struktur menerusi pewujudan pekerjaan berkualiti, pelaksanaan Dasar Gaji Progresif, pembangunan kemahiran, pembangunan bakat, peningkatan produktiviti tenaga kerja dan pembaharuan sistem pendidikan.