BATU PAHAT: Seorang pekerja kebun dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada 19 Mac bagi tuduhan membunuh seorang kenalannya dengan membakar ibu tiga anak itu dengan petrol pada 8 Mac.
Muhammad Firdaus Baktehir, 29 tahun, hanya mengangguk faham apabila pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Arun Noval Dass.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, yang masih bujang, berikutan kes ini di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Firdaus didakwa menyebabkan kematian Cik Syarah Nurul Masturah Abdullah, 31 tahun, di sebuah rumah di Kampung Baru, Sri Gading, Batu Pahat, Johor, pada 5 petang 8 Mac.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara hingga 40 tahun dan sebat tidak kurang 12 kali jika tidak dikenakan hukuman mati.
Ikat jamin tidak ditawarkan dan mahkamah menetapkan 24 April bagi sebutan semula kes untuk laporan forensik, lapor Berita Harian Malaysia.
Tertuduh tiba di mahkamah pada 8.30 pagi diiringi anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat. Dia berjalan terencut-rencut akibat kedua-dua pahanya melecur disambar api dalam kejadian itu.
Siasatan awal polis mendapati kebakaran berlaku apabila tertuduh menyimbah petrol sebelum menyalakan api dengan pemetik api.
Anggota bomba menjawab panggilan kecemasan mengenai kebakaran sebuah rumah dan mendapati kedua-duanya, mangsa dan tertuduh, mengalami kelecuran.
Kebakaran itu menyebabkan mangsa melecur 74 peratus manakala tertuduh 13.5 peratus dan menerima rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI).
Namun, mangsa meninggal dunia pada 9.54 malam esoknya.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Penolong Pesuruhjaya (AC) Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, sebelum ini berkata siasatan awal Bahagian Siasatan Jenayah mendapati kejadian itu bermula dengan kebakaran tersebut, yang berpunca daripada pertengkaran antara Cik Syarah dan tertuduh.
“Pertengkaran itu berlarutan hingga berlaku insiden menggunakan pemetik api dan petrol hingga mencetuskan kebakaran dalam rumah.
“Akibatnya, mangsa dan suspek cedera di seluruh badan dan dirawat di Hospital Sultanah Nora Ismail,” kata beliau.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg