Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pekerja kilang dipenjara 3 tahun, miliki bahan berkaitan IS

Jan 9, 2025 | 2:11 PM
Suhaini Sarwan (tengah) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen pada 9 Januari atas dua tuduhan memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas IS.
Suhaini Sarwan (tengah) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen pada 9 Januari atas dua tuduhan memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas IS. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Seorang pekerja kilang dijatuhi hukuman penjara tiga tahun bagi setiap tuduhan selepas mengaku bersalah atas dua tuduhan memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas IS.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin mengarahkan hukuman penjara atas dua tuduhan terhadap Suhaini Sarwan, 46 tahun, dijalankan secara serentak dari tarikh dia ditahan pada 30 Mei lalu.

Ketika prosiding, peguam Sazlinidayu Kamarul Baharin yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mempertimbangkan hukuman lebih ringan dengan mengambil kira pengakuan bersalah tertuduh.

“Tertuduh sebelum ini bekerja dengan pendapatan RM2,200 ($669). Sudah berkahwin dan mempunyai dua anak selain menanggung bapanya,” katanya.

Selain itu, Cik Sazlinidayu berkata terdapat kes di Mahkamah Tinggi sebelum ini yang menjatuhkan hukuman selama dua tahun atas kesalahan sama sebagaimana dalam kes kali ini.

“Justeru, pihak pembelaan memohon mahkamah mengambil kira trend hukuman semasa. Tertuduh juga sudah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu,” rayunya, lapor Berita Harian Malaysia.

Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Salim pula memohon mahkamah mempertimbangkan hukuman yang berat mengambil kira kepentingan awam melebihi kepentingan peribadi tertuduh.

“Menurut fakta kes, hasil laporan pakar mendapati pembaca dan pemilik bahan seperti ini mempunyai kecenderungan dan dorongan kepada kepercayaan dan tindakan ekstrem kumpulan IS yang boleh mengancam keselamatan negara.

“Pakar turut menyatakan pemilik bahan ini juga mempunyai kecenderungan jelas untuk menggalak penggunaan kekerasan atau aksi ganas IS bagi mencapai objektif perjuangan yang disokong,” katanya.

Mengikut tuduhan pertama, Suhaini didakwa memiliki artikel berkaitan kumpulan IS dan perbuatan pengganas di dalam komputer riba.

Bagi tuduhan kedua, tertuduh didakwa memiliki bahan bacaan iaitu lima buku berkaitan kumpulan IS dan perbuatan pengganas.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130JB (1) (a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 130JB (1) yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniat untuk digunakan dalam melakukan kesalahan itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg