Topik diikuti
Pergi ke BHkuPelajar ditemui mati di sekolah di Perak: PM Anwar arah siasatan telus
Ibu bapa mangsa mahu kenal pasti punca kematian, serah siasatan kepada pihak berkuasa
Pelajar ditemui mati di sekolah di Perak: PM Anwar arah siasatan telus
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh, telus dan segera bagi mengenal pasti punca sebenar kematian seorang pelajar Tingkatan Tiga di sebuah sekolah di Perak, pada 18 November.
Datuk Anwar menegaskan tiada sebarang aspek harus diketepikan, supaya keadilan dapat ditegakkan dan memastikan kejadian seumpama itu dapat dicegah daripada berulang.
“Takziah kepada keluarga mangsa. Semoga keluarga mangsa diberikan kekuatan serta ketabahan dalam menghadapi saat amat sukar ini,” katanya dalam hantaran melalui Facebook, pada malam 18 November, lapor Berita Harian Malaysia.
Terdahulu, media Malaysia melaporkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak mengesahkan seorang pelajar Tingkatan Tiga meninggal dunia di sebuah sekolah berasrama penuh di Perak, pada 18 November.
Jabatan itu dipetik pihaknya menzahirkan perasaan dukacita dan sedang memantau perkembangan insiden berkenaan secara dekat.
Selain itu, katanya pihak jabatan mengarahkan pihak sekolah memberi kerjasama penuh kepada siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Sementara itu, bapa kepada pelajar Tingkatan Tiga terbabit, Encik Mohd Idzwan Razali, 48 tahun, mahu siasatan telus dan menyeluruh dijalankan bagi mengenal pasti punca kematian anaknya.
Beliau berkata pihak sekolah sudah memberikan penjelasan kepada keluarga mengenai kejadian itu dan beliau dimaklumkan mengenai kematian anaknya oleh polis serta pengetua sekolah kira-kira 4 petang, 18 November.
“Kami serahkan kepada pihak berkuasa untuk siasat. Perlu ada siasatan yang telus dan menyeluruh. Itu harapan saya,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Taiping, di Perak, pada 19 November, lapor Harian Metro.
Ditanya mengenai pengalaman anaknya sepanjang bersekolah di situ, Encik Mohd Idzwan berkata tiada perkara luar biasa berlaku.
“Persekolahannya seperti biasa. Kehidupan di asrama juga sama seperti pelajar lain,” katanya.
Beliau berkata anaknya kali terakhir menghubunginya menerusi aplikasi Telegram sebelum kejadian.
“Dia menghantar mesej mengenai perkara biasa, seperti bertanya sama ada saya sudah makan dan perkara lain,” katanya sambil menjelaskan mereka sekeluarga amat terkesan dan terkejut dengan kehilangan itu.
Sementara itu, Menteri Pendidikan Malaysia, Datuk Seri Fadhlina Sidek, berkata pentadbir sekolah dan guru direhatkan daripada tugas buat sementara waktu, susulan kematian pelajar berkenaan.
Beliau mengesahkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran tempat kejadian berfungsi dengan baik dan sudah diserahkan kepada polis bagi membantu siasatan.
“Saya memandang serius insiden ini dan sudah mengarahkan KPM memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis bagi memastikan siasatan dijalankan secara teliti serta telus,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook.