PASIR MAS (Kelantan): Tubuh seorang pelajar Tingkatan Dua dilihat berasap selepas disambar petir ketika memancing di kawasan sawah padi di Kampung Tasek Berangan, Pasir Mas, Kelantan, kira-kira 4.30 petang pada 12 Oktober.

Haziq Qayyum Rosli, 12 tahun, menceritakan kejadian malang itu yang meragut nyawa sepupunya, Allahyarham Muhammad Ziad Zikri Abdul Hadi, 14 tahun.

“Ketika kilat menyambar, kami berempat jatuh terbaring dan ketika itu saya lihat badan Ziad berasap,” kata Haziq menceritakan kejadian, lapor Harian Metro.

Haziq, yang mengalami kecederaan di bahagian belakang bahu kanannya, berkata mereka sedang berjalan menuju ke motosikal untuk pulang ke rumah berikutan hujan lebat secara tiba-tiba ketika kejadian berlaku.

“Kami tiba di bendang (untuk memancing) pada 4 petang. Namun cuaca tiba-tiba hujan dan saya mengajak Ziad serta rakan lain pulang kerana risau hujan semakin lebat, ketika itu belum ada kilat.

“Bagaimanapun Ziad meminta kami bersabar dan masih mahu memancing memandangkan kami baru tiba dan Ziad baru mendapat dua ekor ikan.

“Tetapi selepas hujan makin lebat Ziad bersetuju untuk pulang dan ketika berjalan menuju ke motosikal, tiba-tiba kilat begitu kuat dan kami semua jatuh terbaring dan badan Ziad terbakar.

“Kami kemudian berlari pulang memaklumkannya kepada bapa Ziad,” katanya.

Bapa Ziad, Encik Abdul Hadi Abdul Ghani, 60 tahun, berkata sebaik dimaklumkan anaknya terkena petir, beliau terus bergegas ke kawasan bendang yang terletak kira-kira dua kilometer dari rumah, dan terus memangku badan Ziad yang terbaring.

“Mulanya kami sangkakan Ziad hanya pengsan, namun rupanya ketika itu anak saya sudah meninggal dunia,” katanya sayu.

Encik Abdul Ghani kemudian membawa Ziad ke Hospital Pasir Mas (HPM) dan anaknya disahkan telah meninggal dunia.

Katanya, kejadian yang berlaku sangat mengejutkan kerana anaknya keluar dari rumah pada 4 petang dalam keadaan sihat, sebelum dibawa pulang dengan jasad yang sudah tidak bernyawa.

“Walaupun sedih, kami reda dengan kejadian yang berlaku kerana menganggap ini takdir Allah.

“Sebelum pergi memancing, Ziad menyelesaikan dulu kelas mengaji. Memancing ikan dan menangkap burung memang hobi dia,” katanya.