Topik diikuti
Pergi ke BHkuLindungi diri, kebanyakan tragedi panahan petir boleh dicegah
Lindungi diri, kebanyakan tragedi panahan petir boleh dicegah
Petir boleh membunuh dalam sekelip mata, namun kebanyakan tragedi sebenarnya boleh dielak
Lindungi diri, kebanyakan tragedi panahan petir boleh dicegah
Ramai beranggapan sambaran petir hanya berbahaya apabila hujan lebat atau ribut berlaku.
Namun, pakar menegaskan risiko itu boleh muncul walaupun langit cerah, sekali gus menjadikan langkah pencegahan sebagai perlindungan paling berkesan bagi mengelakkan kecederaan dan kematian.
Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) menegaskan kebanyakan kejadian dipanah petir boleh dielakkan jika orang ramai fahami tanda awal ribut serta mengetahui tindakan yang perlu diambil sebelum, semasa dan selepas cuaca buruk berlaku.
Menurut CDC, petir mampu menyambar lebih 16 kilometer dari lokasi ribut, menyebabkan seseorang masih berisiko disambar walaupun cuaca di tempat mereka kelihatan baik.
Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya segera mendapatkan perlindungan sebaik sahaja terdengar bunyi guruh atau terlihat kilat.
“Apabila terdengar guruh, segera masuk ke dalam bangunan,” ujar garis panduan keselamatan agensi itu.
Berlindung di bangunan paling selamat
CDC menjelaskan bangunan berdinding penuh atau kenderaan berbumbung keras merupakan tempat paling selamat ketika ribut petir.
Walaupun begitu, seseorang masih perlu mengambil langkah berjaga-jaga walaupun sudah berada di dalam bangunan.
Ini kerana arus elektrik daripada sambaran petir boleh bergerak melalui sistem pendawaian elektrik, paip air dan kabel telefon.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mandi, membasuh pinggan atau menggunakan air paip ketika ribut sedang berlaku.
Selain itu, penggunaan telefon berwayar, komputer, mesin basuh, dapur elektrik serta peralatan elektronik yang disambungkan kepada soket elektrik juga perlu dielakkan.
CDC turut mengingatkan orang ramai supaya menjauhi tingkap, pintu, beranda serta tidak bersandar pada dinding atau lantai konkrit kerana struktur konkrit biasanya mengandungi besi tetulang yang boleh mengalirkan elektrik.
Antara kegiatan paling berisiko
Bagi mereka yang merancang kegiatan luar seperti berkelah, berkayak, memancing, berperahu atau beriadah di pantai, CDC menegaskan ramalan cuaca perlu diperiksa terlebih dahulu.
Sekiranya terdapat amaran ribut petir, kegiatan luar sebaiknya ditangguhkan.
Mereka yang sudah berada di laut atau tasik pula perlu segera kembali ke darat apabila awan gelap mula terbentuk atau kedengaran bunyi guruh.
“Jangan tunggu hujan turun kerana petir boleh menyambar sebelum hujan bermula,” tambah panduan itu.
CDC turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menyambung semula kegiatan luar sehingga sekurang-kurangnya 30 minit selepas bunyi guruh terakhir didengari.
Elak kawasan terbuka
Sekiranya seseorang terperangkap di kawasan terbuka ketika ribut berlaku, tindakan paling penting adalah mencari perlindungan secepat mungkin.
Orang ramai dinasihatkan menjauhi padang, pantai, taman permainan, padang golf, kolam, tasik dan kawasan lapang lain.
Mereka juga tidak seharusnya berteduh di bawah pokok tunggal, pondok rehat, hentian bas terbuka atau struktur yang tidak berdinding kerana lokasi sedemikian tidak selamat daripada panahan petir.
Bagi mereka yang menunggang motosikal, kereta golf atau kenderaan tanpa bumbung, CDC menegaskan semua kenderaan itu tidak memberikan perlindungan yang mencukupi.
Sekiranya berada di kawasan berbukit atau tanah tinggi, individu terbabit perlu segera turun ke kawasan yang lebih rendah.
Dalam keadaan kecemasan, seseorang juga tidak digalak berbaring di atas tanah kerana tindakan itu boleh meningkatkan risiko terkena arus elektrik yang mengalir di permukaan bumi selepas sambaran petir.
Usah pegang objek logam
Walaupun logam tidak menarik petir secara langsung, CDC menjelaskan, logam merupakan pengalir elektrik yang sangat baik.
Oleh itu, individu di kawasan terbuka dinasihatkan supaya tidak membawa objek logam panjang seperti kayu golf, joran, payung berlogam atau beg galas yang mempunyai rangka besi ketika ribut petir.
Begitu juga pagar besi, tiang elektrik dan kincir angin yang perlu dijauhi kerana ia boleh menjadi laluan pengaliran elektrik sekiranya berlaku sambaran petir berhampiran.
Lindungi haiwan peliharaan
Selain manusia, haiwan peliharaan turut berisiko menjadi mangsa sambaran petir.
CDC menasihatkan pemilik membawa haiwan peliharaan masuk ke dalam rumah apabila ribut bermula dan tidak membiarkannya diikat pada pokok atau berada di dalam rumah haiwan di luar kediaman.
Pemilik juga digalak menanggalkan rantai atau tali logam pada haiwan peliharaan dan menggantikannya dengan bahan bukan logam bagi mengurangkan risiko kecederaan akibat pengaliran elektrik.
Bantuan awal mampu selamatkan nyawa
Sekiranya seseorang disambar petir, CDC menegaskan mangsa tidak menyimpan cas elektrik dan selamat disentuh.
Oleh itu, bantuan kecemasan perlu diberikan segera tanpa rasa takut.
Langkah pertama ialah menghubungi talian kecemasan dan memberikan maklumat mengenai lokasi kejadian serta jumlah mangsa.
Selepas itu, penyelamat perlu memastikan kawasan selamat sebelum memeriksa sama ada mangsa masih bernafas dan mempunyai denyutan nadi.
Jika mangsa tidak bernafas atau tiada denyutan nadi, perlu dimulakan pernafasan kecemasan (CPR) dengan segera sehingga bantuan perubatan tiba.
CDC menjelaskan, sambaran petir boleh menyebabkan jantung terhenti secara tiba-tiba, justeru CPR yang dilakukan dalam beberapa minit pertama mampu meningkatkan peluang mangsa untuk terus hidup.
Jangan abaikan kecederaan lain
Walaupun mangsa masih sedar atau kembali bernafas, pemeriksaan perubatan tetap diperlukan.
Ini kerana sambaran petir boleh menyebabkan melecur, renjatan, trauma akibat tercampak atau terjatuh serta kecederaan dalaman yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.
Menurut CDC, semua kecederaan itu perlu diberikan rawatan asas sementara menunggu ketibaan pasukan perubatan.
Agensi itu menegaskan bahawa pengetahuan mengenai langkah keselamatan dan bantuan kecemasan bukan sahaja mampu mengurangkan risiko kecederaan, malah berpotensi menyelamatkan nyawa ketika berdepan salah satu fenomena alam paling berbahaya itu.
