Hanya kerana mempercayai firasat ‘bomoh’ yang menuduh rakan sekampus mencuri komputer riba, enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) mengambil tindakan melulu membuli dan mendera Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain, sehingga akhirnya mangsa maut.
Akibatnya, masa depan enam bekas penuntut UPNM itu sia-sia apabila bakal berakhir di tali gantung.
Awalnya keenam-enam tertuduh selaku suspek utama kes penderaan kejam dan pembunuhan Pegawai Kadet Laut itu pada 2017, telah dijatuhkan hukuman penjara 18 tahun oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2021, kerana membunuh dan bersubahat membunuh.
Ketika itu Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azman Abdullah, dalam penghakimannya memutuskan enam tertuduh didapati bersalah mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan kerana mencederakan Allahyarham Zulfarhan tanpa niat membunuh.
Sebanyak 12 lagi tertuduh lain yang disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan kerana mencederakan Allahyarham Zulfarhan dikenakan hukuman penjara tiga tahun.
Namun enam tertuduh utama yang kini berusia 28 tahun – Muhammad Akmal Zuhairi Azmal; Muhammad Azamuddin Mad Sofi; Muhammad Najib Mohd Razi; Muhammad Afif Najmudin Azahat; Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali – tidak mampu lagi tersenyum seperti sebelum ini, selepas Mahkamah Rayuan akhirnya menjatuhkan hukuman gantung sampai mati.
Keputusan sebulat suara panel tiga hakim diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail, yang menyifatkan pembunuhan itu satu jenayah kejam yang jarang ditemui, dibuat selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk meminda tuduhan terhadap enam tertuduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Penghakiman panel tiga hakim pada 23 Julai itu, sekali gus menolak rayuan enam tertuduh terbabit untuk meringankan hukuman penjara 18 tahun kepada 12 tahun, dengan alasan jenayah bunuh dilakukan bukan sahaja zalim malah turut mengejutkan ‘hati nurani kehakiman’ dan masyarakat.
Menurut Datuk Hadhariah ketika membacakan penghakiman sepanjang 232 muka surat, meskipun enam tertuduh melihat mangsa menggelupur kesakitan, mereka tetap menutup mata, tidak peduli dan terus menekap seterika.
Perbuatan yang dilakukan di tingkat empat asrama UPNM itu mencederakan hampir keseluruhan badan mangsa termasuk di bahagian kemaluan (kecuali di muka), mengakibatkan 90 kesan lecur, dengan objek lain turut digunakan untuk memukul mangsa seperti tali pinggang, getah paip dan penyangkut baju.
Pihak pendakwaan menegaskan tertuduh menggunakan seterika wap untuk menekap sebanyak 90 kali pada kaki, bahagian belakang dan depan badan Allahyarham Zulfarhan, malah melakukannya dari malam hingga waktu subuh, selama dua hari berturut-turut.
Allahyarham Zulfarhan kemudian dibawa suspek ke sebuah kondominum di Bangi, Selangor selepas dihantar ke klinik untuk mendapatkan rawatan kecederaan yang membuatkannya lemah, sebelum meninggal dunia di kondominium itu pada 9.10 malam, 1 Jun 2017.
Menyusuli kejadian, polis membuat tahanan reman kepada 36 penuntut UPNM dan Universiti Tenaga Nasional (Uniten) untuk membantu siasatan.
Kes jenayah melibatkan penderaan yang berlaku pada Allahyarham Zulfarhan disifatkan sebagai tragedi buli dan dera terburuk serta kejam oleh seluruh rakyat Malaysia.
Hukuman gantung disifatkan balasan paling setimpal untuk perbuatan tidak berperikemanusiaan itu.
Insan paling lega dengan keputusan Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap enam tertuduh ialah kedua ibu bapa Allahyarham Zulfarhan, Encik Zulkarnain Idrus dan Cik Hawa Osman.
“Ibu bapa mana tidak sedih kehilangan anak yang didera sebegitu kejam. Ketika hakim membacakan keputusan, kami tak dapat bayangkan penderitaan Allahyarham ketika diseksa, saya menggigil dan tak boleh bercakap.
“Kami maafkan pelaku walaupun mereka atau keluarga tidak pernah datang minta maaf atas apa yang berlaku. Malah sempat ketawa selepas dijatuhkan hukuman penjara sebelum ini.
“Tetapi perbuatan kejam mereka menekap seterika pada kemaluan Allahyarham tidak boleh diterima... di bahagian lain saya masih boleh terima, tetapi di kemaluan, ia ibarat nyawa.
“Hukuman penjara 18 tahun tak setimpal dengan perbuatan kejam mereka. Keputusan Mahkamah Rayuan membuatkan kami sedikit tenang selepas tujuh tahun menanggung derita kehilangan anak. Ini keadilan untuk Allahyarham Zulfarhan,” kata Cik Hawa kepada Berita Minggu.
Namun kata Cik Hawa, beliau sedikit terkilan kerana Allahyarham Zulfarhan sepatutnya dapat diselamatkan sekiranya pihak UPNM peka dengan aduan mengenai kejadian menimpa anak sulungya itu.
Sejak 23 Julai, tular kembali surat layang yang dihantar seorang rakan Allahyarham, Leftenan Muhammad Aiman Aufa Asmadi Affendi, kepada warden yang meminta serbuan dilakukan ke bilik di asrama UPNM yang ‘menjadi saksi’ kejadian malang menimpa Allahyarham Zulfarhan.
Kini, surat layang tertulis – “Kalau ada hati perasaan, ada sifat kemanusiaan, saya minta sangat pergi ambush (serbu) bilik 4-10 blok satria. Dalam itu ada pesakit yang sangat perlukan rawatan segera! – tidak lagi berguna.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg