Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kes bunuh kadet laut: Ibu bapa pilu lihat luka teruk di tubuh anak

Mangsa buli kejam dari rakan sekampus ketika menuntut di Universiti Pertahanan Nasional M’sia pada 1 Jun 2017 masih segar dalam ingatan
Jul 30, 2024 | 3:02 PM
Cik Hawa Osman dan keluarganya akan menziarahi pusara Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain di Johor Bahru pada setiap Jumaat sejak kehilangan anak sulung mereka itu.
Cik Hawa Osman dan keluarganya akan menziarahi pusara Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain di Johor Bahru pada setiap Jumaat sejak kehilangan anak sulung mereka itu. - Foto ZULKARNAIN IDROS

“Hati kami hancur melihat luka dan kecederaan di tubuh anak ketika memandikan jenazahnya. Tujuh tahun berlalu, namun semua itu masih segar di ingatan dan tak akan kami lupakan,” kata Encik Zulkarnain Idros, 60 tahun.

Beliau dan isteri, Cik Hawa Osman, 61 tahun, kehilangan anak sulung, Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain, yang menjadi mangsa buli kejam dan dera rakan sekampus ketika menuntut di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) pada 1 Jun 2017.

Penghakiman panel tiga hakim Mahkamah Rayuan mengenai kecederaan Pegawai Kadet Laut itu sebelum menjatuhi hukuman gantung sampai mati terhadap enam tertuduh utama kes pembunuhan Zulfarhan pada 23 Julai lalu, merobek lagi hati pasangan suami isteri itu.

“Saya rasa terkilan sebab ketika tengok jenazah anak, yang saya nampak banyak luka. Di dalam mahkamah (rayuan), hakim baca penghakiman (rupanya) di bawah kulit ada luka pendarahan, mata lebam dan mukanya tak terurus.

“Zulfarhan sebenarnya seorang yang pembersih dan tak suka wajahnya ada misai dan janggut, tetapi ketika itu jenazahnya berbeza. Ketika mendengar penghakiman itu saya hanya merintih ‘ya Allah kenapa mereka buat anak saya begini’.

“Anak saya menggelupur dan merintih kesakitan, tetapi mereka tak endahkan, malah terus diseksa dengan kejam. Rupanya penderitaan Allahyarham Zulfarhan lebih teruk lagi daripada yang kami lihat,” kata Cik Hawa kepada Berita Harian (BH).

Allahyarham Zulfarhan ditekap dengan sterika wap berkali-kali sehingga meninggalkan 90 kesan lecur termasuk di kemaluan dalam keadaan kaki dan tangannya terikat, serta dibiarkan menggelupur di lantai dalam keadaan kesakitan.

Malah sebelum itu, mangsa turut dipukul, ditumbuk dan disepak tertuduh di asrama UPNM tanpa belas kasihan dengan tujuan memaksa Allahyarham mengaku mencuri, selepas seorang daripada mereka kehilangan komputer riba.

Namun, dakwaan bomoh iaitu bapa kepada salah seorang tertuduh dalam kes terbabit yang menuduh Zulfarhan Osman mencuri terbukti tidak berasas. Sehingga kini, komputer riba yang hilang itu tidak ditemui.

“Saya beranggapan mereka cemburu pada Allahyarham sebab Zulfarhan seorang yang sangat disenangi pensyarah. Bomoh itu juga perlu bertaubat kerana menyebabkan kematian anak saya,” kata Cik Hawa.

Walaupun tertuduh dijatuhi hukuman gantung sampai mati, Cik Hawa berkata hatinya belum tenang.

“Saya berdoa kepada Allah setiap waktu supaya jika hendak ditarik nyawa saya, biarlah selepas saya melihat pembunuh anak menjalani hukuman dan saya menyaksikan mereka dikuburkan. Saya tak henti berdoa mereka dikenakan hukuman setimpal,” kongsinya.

Kerinduan terhadap anak sulungnya itu, kata Cik Hawa, tidak pernah padam apatah lagi beliau menempuh banyak cabaran sebelum dikurniakan rezeki melahirkan Allahyarham.

“Saya keguguran dua kali sebelum melahirkan Allahyarham Zulfarhan pada 29 November 1996. Saya beri nama Zulfarhan, yang mana Farhan bermaksud kegembiraan. Tetapi kegembiraan bersama Zulfarhan tidak lama.

“Sepanjang belajar di UPNM, Allahyarham tak pernah gagal hubungi saya setiap hari. Setiap kali menelefon, dia akan cakap ‘sayang mak’ sebanyak tiga kali. Zulfarhan juga amat manja dengan saya. Setiap kali balik bercuti ke Johor Bahru, Allahyarham akan tidur dengan saya sehingga adik-adiknya cemburu,” ceritanya.

“Ketika itu juga Allahyarham menyusun pingat-pingat dimenanginya di depan katil saya. Katanya ‘nanti kalau mak rindu along, mak tengok saja pingat ini’. Tak sangka itu kata-kata akhirnya kepada saya,” kata Cik Hawa.

Menurut Cik Hawa, sejak pemergian Allahyarham pada 2017, mereka sekeluarga tidak menyambut Aidilfitri kerana akan terkenangkan Zulfarhan.

“Allahyarham suka makan roti canai, ikan bawal masak kuali, kuih tart, kuih seri muka dan kerepek pisang air tangan bapanya. Sepanjang pemergian Allahyarham, semua makanan itu ‘dilarang’ masuk ke rumah kerana akan terkenangkan Zulfarhan.

“Allahyarham meninggal dunia pada Ramadan sebelum sempat beraya. Hanya persalinan baru warna kelabu yang dipilih sendiri Zulfarhan menjadi kenangan kami,” katanya kepada BH.

Cik Hawa juga tidak dapat melupakan hajat Allahyarham yang mahu membawa kedua ibu bapanya menunaikan haji dan sudah memulakan tabungan bagi tujuan itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg