Di sebalik keluhan kegawatan ekonomi dan kelemahan mata wang ringgit, perbelanjaan pelancongan domestik di Malaysia bagi suku pertama 2024 melonjak 25.3 peratus kepada RM24.1 bilion ($6.90 bilion), berbanding tempoh sama pada 2023.
Menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam Tinjauan Pelancongan Domestik Malaysia (DTS) 2023 dan Buletin DTS Bagi Suku Pertama 2024, bilangan pelawat domestik di Malaysia turut mengalami lonjakan ketara dengan merekodkan 58.6 juta pelawat domestik bagi suku pertama 2024, meningkat 19 peratus berbanding suku yang sama pada 2023.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata prestasi tahunan pelancongan domestik di Malaysia mengalami peningkatan drastik pada 2023 dengan jumlah perbelanjaan mencatatkan RM84.9 bilion, berbanding RM64.1 bilion pada 2022.
“Prestasi yang memberangsangkan bagi perbelanjaan ini didorong peningkatan jumlah perbelanjaan oleh pelancong sebanyak 34.4 peratus dan pelawat harian 29.7 peratus, yang mana perbelanjaan pelancong adalah penyumbang majoriti iaitu sebanyak 61.5 peratus, berbanding 60.7 peratus pada 2022.
“Jumlah pelawat domestik turut melonjak 24.6 peratus untuk mencatatkan 213.7 juta pelawat pada 2023, berbanding 171.6 juta pelawat pada 2022,” katanya dalam kenyataan pada 12 Jun.
Datuk Dr Mohd Uzir berkata perbelanjaan tertinggi pelawat domestik adalah untuk membeli-belah dengan sumbangan sebanyak 36.3 peratus pada 2023 (2022: 38.9 peratus), diikuti oleh makanan dan minuman 16.3 peratus (2022: 15.2 peratus) dan pembelian bahan api kenderaan 13.2 peratus (2022: 13 peratus).
“Melawat saudara-mara dan rakan kekal sebagai penyumbang utama bagi tujuan pelancongan domestik iaitu 33.6 peratus (2022: 33.7 peratus), namun ia masih belum mengatasi peratusan yang dicatatkan pada tahun prapandemik iaitu 42.3 peratus. Membeli-belah kekal sebagai tujuan kedua dengan sumbangan 32.6 peratus (2022: 29.9 peratus).
“Jumlah perjalanan domestik menunjukkan peningkatan ketara yang mana pelawat domestik telah melakukan 241.5 juta perjalanan di dalam negara pada 2023, melonjak 16.2 peratus berbanding 2022. Namun begitu, purata bilangan hari menginap pada 2023 menurun kepada 2.45 malam berbanding 2.55 malam pada 2022,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai ketibaan pelawat domestik mengikut negeri pula, Datuk Dr Mohd Uzir berkata Selangor muncul sebagai negeri dikunjungi paling ramai pelawat domestik pada 2023 apabila menarik seramai 27.6 juta pelawat domestik.
“Ia diikuti oleh Kuala Lumpur dan Sarawak masing-masing menerima 22.2 juta dan 17.9 juta pelawat domestik.
“Jumlah pelancong domestik yang berkunjung ke negeri Johor menunjukkan peningkatan yang ketara iaitu sebanyak 42.7 peratus dengan merekodkan 8.92 juta pelancong pada 2023, berbanding pada 2022 hanya 6.25 juta pelancong,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg