JOHOR BAHRU: Negeri Johor menyasarkan ketibaan 12 juta pelancong antarabangsa sempena Tahun Melawat Johor 2026 dengan potensi impak ekonomi melebihi RM42 bilion ($13.5 bilion) kepada negeri itu.

Pegawai Daerah Johor Bahru, Encik Mohd Masni Wakiman, berkata Johor juga terus mencatat pencapaian membanggakan apabila Tourism Johor menerima pengiktirafan Asia Record bagi kategori kemasukan pelawat antarabangsa paling tinggi melalui pintu masuk darat antara dua negara berdaulat dalam sebuah zon ekonomi khas dua hala.

Sebanyak 24,698,199 kemasukan pelawat antarabangsa direkodkan ke Johor pada 2025, dengan sebahagian besarnya membabitkan pelawat dari Singapura seramai 19,387,115 orang.

Jumlah itu diikuti pelawat dari Indonesia seramai 1,509,658 orang dan China seramai 1,287,379 orang.

Menurut beliau, sasaran berkenaan bukan sekadar angka, sebaliknya bakal membuka lebih banyak peluang pekerjaan, meningkatkan limpahan pendapatan kepada vendor serta perusahaan kecil dan sederhana (SME), selain mengukuhkan lagi pengiktirafan sejagat terhadap keunikan Bangsa Johor.

“Sebut sahaja Johor, sebut sahaja warisan zapin yang telah pun kita iktiraf pelbagai variasinya sebagai khazanah tidak ternilai negeri ini,” katanya, ketika berucap sempena Konvensyen Tahun Melawat Johor 2026 dan sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama pemain industri pelancongan Johor pada 16 April.

Beliau berkata di bawah penyelarasan Tourism Johor dengan kerjasama rapat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Tourism Malaysia dan Yayasan Warisan Johor, Johor kini berada di landasan tepat untuk menjayakan kempen pelancongan itu.

Menurutnya, sambutan yang diadakan di pintu masuk utama Johor termasuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai dan terminal feri negeri sempena ketibaan pelancong pada awal Januari, yang diserikan dengan persembahan gambus dan zapin, membuktikan Johor mampu memberi gambaran pertama yang memukau kepada pelawat.

“Inilah piawaian yang kita mahu, mesra, beradat dan bertaraf dunia,” katanya.

Beberapa produk pelancongan baru turut dijangka menyemarakkan lagi industri pelancongan Johor termasuk pembukaan Zoo Malam Johor, penaiktarafan Kompleks Sultan Abu Bakar, pembukaan Muzium Tokoh dan pembaharuan produk pelancongan di Taman Negara Johor Tanjung Piai tambah beliau.

Encik Mohd Masni berkata kempen Tahun Melawat Johor 2026 tidak seharusnya hanya mempromosikan tempat semata-mata, sebaliknya perlu menonjolkan jiwa dan identiti masyarakat Johor.

Beliau juga berkata pelancong bukan sahaja mahu melihat bangunan pencakar langit dan taman tema, malah, turut ingin rasai keharmonian hidup masyarakat pelbagai kaum di Johor.

“Kita mahu mereka rasai bagaimana umat Islam meraikan Syawal, dan pada masa yang sama bagaimana kaum Cina, India dan etnik lain turut menikmati kemeriahan itu.

“Inilah perpaduan dalam kepelbagaian yang menjadi DNA Bangsa Johor,” katanya.

Beliau turut menyeru pemain industri pelancongan menjadikan kebudayaan sebagai produk pelancongan utama dengan mempromosikan pengalaman seperti mengacau dodol, membakar lemang dan mempelajari tarian zapin di lokasi pelancongan masing-masing.

“Itulah pengalaman ‘Meh Lah Johor’ yang tidak mampu ditawarkan di tempat lain,” katanya.

“Sebut sahaja Johor, sebut sahaja warisan zapin yang telah pun kita iktiraf pelbagai variasinya sebagai khazanah tidak ternilai negeri ini.”
Encik Mohd Masni Wakiman, Pegawai Daerah Johor Bahru.