Topik diikuti
Pergi ke BHkuTunku Nadzaruddin ditabal sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12
Tunku Nadzaruddin ditabal sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12
Tunku Nadzaruddin ditabal sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12
ALOR GAJAH (Melaka): Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan, Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar, diisytiharkan sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 dalam satu majlis di sebuah resort di Melaka pada 5 Jun, selepas berlaku kekecohan di tempat asal majlis itu dijadualkan berlangsung.
Perkembangan itu disahkan mantan Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga pengkaji Adat Perpatih, Tan Sri Rais Yatim, walaupun Mahkamah Tinggi Seremban awalnya telah mengeluarkan injunksi interim yang menghalang Sidang Khas Dewan Keadilan Undang (DKU) dan upacara tersebut.
Majlis berkenaan awalnya dijadual diadakan bersama Sidang Khas DKU di Kediaman Rasmi Tunku Besar Tampin, di Tampin, Negeri Sembilan, yang bersempadan dengan Melaka.
Bagaimanapun berlaku kekecohan sejak 9 pagi apabila sebilangan jemputan kenamaan tidak dibenarkan masuk oleh pihak polis yang berkawal di pintu utama Balai Kediaman itu, sementara Tunku Nadzaruddin didakwa dihalang daripada meninggalkan resort itu untuk menghadiri majlis rasmi itu.
Berita Harian Malaysia melaporkan pertabalan itu diisytiharkan dalam majlis ringkas oleh Undang Luak Jelebu, Encik Maarof Mat Rashad, yang mewakili empat Undang lain di resort itu.
“Bahawasanya selaras dengan Perkara 11 Undang-undang Tubuh Negeri Sembilan 1959, kami Yang Teramat Mulia Undang Yang Empat dengan kuasa yang ada pada kami memilih dan memasyhurkan Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan, Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar, sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12, berkuat kuasa serta-merta.
“Bersesuaian dengan pengisytiharan Undang Yang Empat yang dilakukan pada 19 April 2026. Sekian dimaklumkan,” katanya ketika pengisytiharan itu yang turut disiarkan di media sosial.
Pengisytiharan itu kemudiannya disambut Tunku Nadzaruddin.
Tan Sri Rais mempertahankan bahawa upacara pertabalan itu dijalankan mengikut prosedur adat, undang-undang dan Perlembagaan, dengan turut dihadiri Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri, yang hadir secara fizikal, manakala tiga lagi Undang mengikuti prosiding secara dalam talian menerusi Zoom.
Katanya, peguam serta pegawai adat turut menyaksikan prosiding itu yang dijalankan menggunakan teks yang disediakan pakar adat Negeri Sembilan.
“Jadi selepas ini bebaslah Tunku Nadzaruddin untuk menjalankan tugas sebagai Yang di-Pertuan Besar ke 12. Kita faham ada beberapa halangan dan masalah, namun kita akan atasi bersama,” katanya.
Tan Sri Rais pada masa yang sama turut mempertikaikan kesahan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan pada malam 4 Jun oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16, yang didakwa tidak dirunding dengan empat Undang mengikut prosedur sepatutnya.
Beliau turut mengaitkan pertikaian itu dengan pengisytiharan empat Undang pada 19 April lalu yang menyingkirkan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan melantik Tunku Nadzaruddin sebagai Yang di-Pertuan Besar.
Datuk Aminuddin ketika itu bagaimanapun menegaskan pemecatan Tuanku Muhriz tidak sah dan tidak diiktiraf atas alasan Datuk Mubarak yang membuat pengisytiharan sudah hilang kuasa sah sebagai Undang selepas dipecat pada 2025.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan itu turut mengumumkan pembubaran DUN itu dibuat selepas mendapatkan keizinan Tuanku Muhriz, yang masih diiktiraf kerajaan negeri sebagai Yang di-Pertuan Besar yang sah.
Sementara itu, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam reaksinya menegaskan, Kerajaan Persekutuan kekal mengiktiraf dan akan terus menumpahkan taat setia kepada Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah.
Beliau berkata pendirian rasmi kerajaan itu dibuat mengikut saluran perundangan dan Perlembagaan, serta menyeru agar segala pertikaian diselesaikan mengikut proses yang betul bagi mengelakkan keresahan rakyat.
Tegas beliau, cubaan menggugurkan mana-mana raja akan membawa implikasi besar terhadap keamanan serta kestabilan negara.
