Topic followed successfully
Go to BHkuPerebutan takhta diraja Negeri Sembilan uji ketahanan sistem Adat Perpatih
Perebutan takhta diraja Negeri Sembilan uji ketahanan sistem Adat Perpatih
Timbul persoalan besar tentang keabsahan kuasa, kemampuan sistem adat depani konflik moden
Perebutan takhta diraja Negeri Sembilan uji ketahanan sistem Adat Perpatih
Krisis perebutan takhta diraja di Negeri Sembilan yang berlaku tiba-tiba dan mengejutkan baru-baru ini, mungkin tidak sekadar menentukan siapa berhak menduduki takhta.
Tetapi lebih besar daripada itu, ia menguji sejauh mana sistem adat yang unik mampu menterjemahkan satu penyelesaian masalah dan konflik yang timbul.
Ketika pemerintahan diraja di Negeri Sembilan dipimpin Yang di-Pertuan Besar ke-11, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sejak 2008 dilihat lancar, rakyat negeri itu dikejutkan dengan pengisytiharan oleh empat Undang dari Luak Sungai Ujong, Johol, Rembau dan Jelebu, yang menggunakan kuasa mereka untuk menurunkan Tuanku Muhriz.
Undang yang juga disebut sebagai Undang Yang Empat bermaksud ketua pemerintah, manakala Luak merujuk kepada daerah atau wilayah adat yang diketuai empat Undang terbabit.
Walaupun Negeri Sembilan, iaitu satu-satunya negeri di Malaysia yang bertunjangkan Adat Perpatih, memberi kuasa kepada empat Undang terbabit untuk melantik dan menurunkan Yang di-Pertuan Besar, pertikaian timbul apabila seorang daripada mereka didakwa telah dilucutkan jawatan dan hilang kuasa.
Pembesar itu ialah Undang Luak Sungai Ujong, Datuk Mubarak Dohak, yang mengetuai dan membacakan pengisytiharan pemecatan Tuanku Muhriz itu pada 19 April, dan didakwa telah dilucutkan jawatannya sejak 13 Mei 2025.
Tindakan Undang mahu menyingkirkan Tuanku Muhriz itu didakwa kerana salah laku, tetapi ia tidak diperincikan dengan jelas.
Malah empat Undang itu turut menamakan Tunku Nadzaruddin, iaitu anak Yang di-Pertuan Besar ke-10, Almarhum Tuanku Ja’afar Tuanku Abdul Rahman, sebagai pemimpin baharu.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, pada 20 April kemudian berkata pengisytiharan itu tidak boleh diterima atau diiktiraf kerana Datuk Mubarak sudah tiada kuasa dan fungsi sebagai Undang apabila dipecat.
Datuk Aminuddin berkata sidang Dewan Keadilan dan Undang (DKU) pada 17 April lalu, sudah menasihat untuk menerima pemberhentian Datuk Mubarak atas dakwaan beberapa salah laku.
Berdasarkan beberapa laporan, terdapat 33 asas sebab Datuk Mubarak dilucutkan jawatan Undang Luak Sungai Ujong, termasuk antaranya dakwaan salah guna kuasa, membawa masuk pemain politik dalam pertikaian adat dan melanggar undang-undang syariah.
Perselisihan berlarutan telah menyaksikan majlis pertama yang kelihatan janggal, dihadiri Tuanku Muhriz selepas konflik itu berlaku, iaitu istiadat perasmian pembukaan Sidang Dewan Undangan Negeri ke-15 Negeri Sembilan pada 23 April.
Ini kerana adat majlis tidak mengikut kelaziman biasa, apabila beliau sepatutnya diiringi empat Undang terbabit bersama seorang lagi pembesar, Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al Qadri, namun kesemua mereka enggan hadir dan mahu sidang ditangguhkan.
Konflik yang belum selesai memaksa Yang Dipertua DUN, Datuk MK Ibrahim Abd Rahman, menangguhkan mesyuarat pada satu tarikh yang belum ditetapkan.
KRISIS CERMIN PERALIHAN ADAT
Melihat konflik yang disifatkan kali pertama berlaku ini, Pensyarah Kanan Sains Pentadbiran dan Pengajian Dasar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Muhammad Fuad Abdul Karim, berpandangan krisis ini mencerminkan peralihan Negeri Sembilan daripada adat yang diamalkan melalui tafsiran adat turun-temurun kepada adat yang semakin ditafsir melalui kerangka perundangan moden.
Beliau berpandangan krisis itu tidak boleh dilihat sekadar sebagai perbalahan individu, sebaliknya sebagai satu ujian tekanan terhadap sistem Adat Perpatih yang telah berfungsi selama ratusan tahun.
“Pertembungan antara logik adat yang berasaskan konsensus (kesepakatan) dan legitimasi (keabsahan) berlapis dengan logik undang-undang sivil yang bersifat binari (dua keadaan) telah mewujudkan ketegangan kompleks.
“Risiko terbesar sekiranya konflik ini berlarutan bukan sekadar pertikaian kuasa, tetapi hakisan kepercayaan rakyat terhadap institusi adat itu sendiri.
“Oleh itu, penyelesaian perlu kembali kepada asas Tali Adat dengan penambahbaikan dari segi tadbir urus dan kejelasan prosedur agar sistem Adat Perpatih terus kekal sebagai institusi hidup yang relevan dan berfungsi dalam era moden,” katanya kepada Berita Harian (BH).
Dr Muhammad Fuad berkata sistem Adat Perpatih sebenarnya merupakan bentuk awal pemerintahan beraja dalam dunia Melayu yang berasaskan prinsip “Alam beraja, Luak berundang”, sekali gus mewujudkan mekanisme semak dan imbang yang tersendiri.
Justeru menurutnya, tanggapan sistem ini tidak mempunyai penguatkuasaan tertinggi atau semua pihak setara adalah tidak tepat kerana secara falsafah, Undang berdaulat di luak masing-masing, manakala Yang di-Pertuan Besar berfungsi sebagai lambang kedaulatan seluruh negeri, termasuk Tuanku Muhriz sendiri.
Penjelasan beliau ini berikutan pandangan banyak pihak yang mendakwa konflik timbul apabila Undang mempunyai kuasa sama rata seperti Yang di-Pertuan Besar, berasaskan kuasa melantik dan menurunkan seorang Yang di-Pertuan Besar, yang dimiliki Undang.
“Situasi yang dilihat sebagai ‘malang’ pada hari ini bukan berpunca daripada kelemahan struktur, tetapi akibat berlakunya kebuntuan prosedur (procedural deadlock) apabila kedua-dua pihak menggunakan kuasa maksimum secara serentak tanpa ruang rundingan (sulh).
“Oleh itu, krisis ini lebih tepat ditafsirkan sebagai krisis tafsiran dan pelaksanaan, bukan kegagalan sistem itu sendiri, malah mendedahkan ‘titik buta’ dalam hubungan antara DKU dan Undang dalam konteks moden,” katanya lagi.
Dr Muhammad Fuad juga berpendapat dalam konteks ini, terdapat keperluan meneliti prosedur mesyuarat dan keputusan DKU secara lebih sistematik, bagi mengelakkan pertikaian berkaitan korum dan keabsahan keanggotaan yang seolah dibuat dalam corak tafsiran yang pelbagai.
Beliau merujuk kepada DKU yang mengisytiharkan perlucutan jawatan Datuk Mubarak, tetapi didakwa tidak memenuhi syarat korum dan kehadiran ahli DKU seperti diperuntukkan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
“Selain itu, wajar dipertimbangkan kewujudan mekanisme arbitrasi (timbang tara) dalaman dalam kerangka adat, seperti panel penengah terdiri daripada tokoh adat berpengalaman, bagi menyelesaikan konflik sebelum ia menjadi krisis terbuka,” kata beliau.
Dr Muhammad Fuad turut berkongsi sejarah di mana Negeri Sembilan pernah mengalami ketegangan berkaitan pelantikan dan kedudukan Undang, namun jarang sekali ia berkembang menjadi konflik terbuka seperti yang digambarkan kini.
Beliau berkata kes pelucutan atau pertikaian jawatan Undang pernah berlaku, termasuk melibatkan Undang Luak Jelebu pada era 1980-an yang berlanjutan ke mahkamah, serta beberapa krisis pelantikan di luak lain seperti Johol dan Rembau, yang menunjukkan isu sebenar sering berkisar kepada persoalan legitimasi atau pengabsahan waris dan pengiktirafan adat.
“Sebaliknya, kes pemecatan Yang di-Pertuan Besar hampir tidak mempunyai precedent (kes duluan) moden yang jelas kerana kedudukannya yang dilindungi adat dan diperkuatkan oleh Perlembagaan negeri.
“Secara prinsip, sebarang usaha menggantikan pemerintah memerlukan proses adat yang sangat ketat dan tersusun, dan bukan tindakan sepihak, justeru menjadikan dakwaan pemecatan secara langsung sebagai sesuatu yang amat luar biasa dan sukar dipertahankan dari sudut pengabsahan,” jelasnya.
SIASATAN PENUH DAN MENYELURUH
Sementara itu, Pensyarah Fakulti Undang-Undang Universiti Multimedia, Encik Mohamad Hafiz Hassan, berkata di bawah Perkara 10(1) UUTKNS, Undang memang mempunyai kuasa memohon supaya Yang di-Pertuan Besar sama ada menarik diri daripada menjalankan tugas bagi satu tempoh yang ditentukan oleh Undang, atau turun takhta serta melepaskan hak, kuasa dan keistimewaannya.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan kuasa ini hanya boleh digunakan selepas satu siasatan penuh dan menyeluruh, sekiranya didapati Yang di-Pertuan Besar melakukan kecacatan besar dan serius yang menjejas sifat seperti gila, buta atau bisu, atau mempunyai sifat tercela yang menyebabkan beliau tidak dibenarkan oleh Hukum Syarak untuk menjadi Yang di-Pertuan Besar.
“Ia juga terpakai sekiranya Yang di-Pertuan Besar didapati telah melakukan perbuatan yang menjejas kesucian, kehormatan dan martabat institusi atau dengan sengaja mengabaikan peruntukan Perlembagaan Negeri Sembilan,” katanya.
Beliau turut menjelaskan pengisytiharan Yang di-Pertuan Besar ‘berhenti daripada menjalankan fungsi dan kuasa sebagai Raja Negeri’ mesti dibuat dengan kebersamaan Menteri Besar.
Katanya, Perlembagaan Negeri Sembilan bukan sahaja memperuntukkan hal berkaitan Yang di-Pertuan Besar, Undang Yang Empat dan Luak yang pada asalnya berasaskan adat iaitu undang-undang tidak bertulis, tetapi turut mengandungi peruntukan berkaitan kerajaan negeri yang diketuai oleh Menteri Besar.
“Perkara 38(2)(a) dan (4) menetapkan bahawa Menteri Besar hendaklah mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Undangan Negeri, dan sekiranya gagal, beliau hendaklah meletakkan jawatan serta mengemukakan peletakan jawatan bersama Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
“Maka jelaslah, walaupun tiga Undang boleh memutuskan kedudukan Yang di-Pertuan Besar, Undang Yang Empat tidak boleh memutuskan Menteri Besar tidak lagi layak memimpin pentadbiran negeri dan perlu digantikan,” katanya, merujuk kepada desakan Undang supaya Datuk Aminuddin dipecat atas alasan tidak layak menerajui pentadbiran kerajaan negeri, selepas beliau menolak keabsahan pengisytiharan turun takhta Tuanku Muhriz.
Oleh itu, Encik Mohammad Hafiz berkata penyelesaian kepada krisis tersebut perlu berpandukan kepada peruntukan Perlembagaan serta proses Adat Perpatih yang telah ditetapkan.
“Dalam satu perkataan, penyelesaiannya adalah muafakat,” katanya.
