SHAH ALAM (Selangor): Punca kematian pegawai kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada 13 November disahkan akibat strok haba dengan kegagalan pelbagai organ.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata mangsa disahkan meninggal dunia pada 2.01 pagi.
“Siasatan diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan sehingga kini sembilan saksi sudah diambil keterangan,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Berita Harian Malaysia.
Sebelum ini, sebuah portal berita melaporkan seorang pelatih Palapes UiTM meninggal dunia selepas didakwa menjalani sesi latihan Palapes yang jerih dan tidak berjadual.
Menurut portal itu, bapa mangsa mendakwa anaknya mengalami pelbagai penderaan termasuk dipijak dadanya serta dipaksa melakukan pelbagai aksi termasuk seperti kuda dan ditunggang oleh jurulatihnya.
Mengulas lanjut, Datuk Hussein berkata tiada sebarang kesan kecederaan luaran dikesan pada tubuh penuntut UiTM Shah Alam itu.
Datuk Hussein turut mengesahkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam menerima laporan yang dibuat bapa mangsa pada 15 November, yang menyatakan beliau menerima panggilan telefon dari Hospital Shah Alam pada 10 November bagi memaklumkan anaknya dimasukkan ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Menurutnya pengadu dimaklumkan oleh rakan anaknya bahawa kejadian berlaku semasa sesi latihan di padang kawad yang dijalankan seorang jurulatih Palapes UiTM Shah Alam.
Menurutnya mangsa yang pengsan dikejarkan ke Hospital Shah Alam untuk mendapatkan rawatan.
“Hasil siasatan pihak polis mendapati mangsa menyertai Palapes di UiTM Shah Alam sejak penghujung Oktober 2024 dan sedang menjalani ujian kecergasan sebelum latihan asas Palapes bermula pada 2025.
“Pada hari kejadian, mangsa didenda melakukan tekan tubi oleh jurulatih kerana ketinggalan dalam sesi larian. Mangsa dilihat melompat-lompat sebelum terjatuh rebah,” katanya.
Beliau berkata mangsa mendapatkan rawatan awal di Wad Kecemasan Zon Merah dan ketika rawatan mangsa dalam keadaan separuh sedar serta mengalami suhu badan yang tinggi.
Rawatan awal ujarnya sudah diberikan dalam usaha untuk menghidratkan mangsa. Bagaimanapun, beliau tidak memberikan tindak balas positif.
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada masa yang sama mengesahkan Cawangan Provos Marsyal Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), sedang menyiasat lanjut kes kematian pelatih Palapes itu dan memberi jaminan tidak akan melindungi mana-mana pihak jika terbukti bersalah terbabit dalam kes tersebut.
UiTM Shah Alam pula dalam satu kenyataan menegaskan sedang meneliti dan memperkukuh prosedur latihan serta mekanisme pemantauan berkaitan kegiatan kokurikulum badan beruniform susulan kematian pegawai kadet Palapes itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg