Topik diikuti
Pergi ke BHkuPeletakan jawatan Menteri Besar N. Sembilan cetus tanda tanya
Peletakan jawatan Menteri Besar N. Sembilan cetus tanda tanya
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno, Datuk Ismail Lasim, dilaporkan meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan pada 16 November, satu keputusan yang mencetuskan tanda tanya.
Ini berlaku ketika kemelut pentadbiran dan institusi diraja di negeri itu dilihat menunjukkan petanda ke arah penyelesaian dan perdamaian.
Peletakan jawatan Datuk Ismail itu dimaklumkan menerusi kenyataan media yang dikeluarkan Setiausaha Agung, Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, pada malam 16 November.
Bagaimanapun, tiada kenyataan rasmi mengenai peletakan jawatan itu datang daripada Datuk Ismail sendiri.
Malah, Datuk Ismail ketika dihubungi media Negeri Sembilan, enggan mengulas perkara itu dan meminta diberikan ruang selama beberapa hari, menyusuli peletakan jawatannya itu.
Kenyataan Datuk Zambry itu menyebut, Pengerusi BN yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, telah menerima satu salinan surat peletakan jawatan Datuk Ismail sebagai Menteri Besar, yang telah diutuskan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, bertarikh 16 November.
“BN menghormati keputusan tersebut dan mengucapkan terima kasih atas khidmat bakti Datuk Ismail sepanjang memegang jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan.
“BN berharap keputusan ini dapat membuka lembaran baharu bagi memulihkan kestabilan politik serta memastikan pentadbiran Negeri Sembilan kembali berfungsi dengan lancar.
“Sehubungan itu, BN akan memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan proses peralihan kepimpinan berjalan teratur,” ujar kenyataan itu.
Menambahkan tanda tanya mengenai peletakan jawatan mengejut Datuk Ismail, anaknya, Encik Naim Ismail, dalam hantaran di laman Instagram Story, dilihat mempersoalkan tindakan BN mengeluarkan kenyataan mengenai peletakan jawatan bapanya itu.
Beliau turut mempersoalkan sama ada keputusan peletakan jawatan itu dibuat sendiri bapanya yang juga Adun kawasan Juasseh.
“Siapa yang keluarkan kenyataan mahu meletakkan jawatan? Adakah tuan (badan) sendiri yang membuat kenyataan tersebut? Kalau bukan, atas dasar apa parti tampil mengeluarkan kenyataan media?” katanya.
Kenyataan Encik Naim itu turut memperlihatkan seolah-olah bapanya dijadikan ‘kambing hitam’ untuk kepentingan pihak tertentu dalam BN.
“Dari awal segala arahan parti dipatuhi. Apa saja keputusan parti semuanya ikut. Tetapi akhirnya macam ini jadi. Belum apa-apa selesai, dah ada usaha untuk menjatuhkan orang sendiri.
“Jangan kerana kepentingan pihak tertentu, orang lain dijadikan kambing hitam. Semua orang tahu apa yang berlaku. Jangan buat seolah-olah hanya satu pihak yang bersalah,” tulisnya.
Peletakan jawatan itu berlaku lebih tiga bulan selepas Datuk Ismail menerajui Kerajaan Negeri sejak 2 Ogos lalu, sebaik BN dan rakan kerjasamanya, Perikatan Nasional (PN), memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, pada 1 Ogos lalu.
Ia sekali gus mencetuskan tanda tanya mengenai sebab di sebalik keputusan berkenaan, terutama ketika kemelut pentadbiran dan institusi diraja di negeri itu dilihat menunjukkan perkembangan positif untuk diselesaikan secara damai.
Ini selepas Datuk Ismail dan 10 bekas Exco Kerajaan Negeri itu pada 10 November, menarik balik surat pemakluman kepada Majlis Raja-Raja bertarikh 17 September, yang mengesahkan penurunan takhta Tuanku Muhriz, sebagai Yang di-Pertuan Besar dan pelantikan sepupunya, Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar, sebagai pengganti.
Pada 16 November, prosiding saman pemula difailkan 10 bekas Exco Negeri Sembilan mengenai pembatalan pelantikan mereka oleh Tuanku Muhriz, ditangguhkan, bagi memberi laluan kepada rundingan penyelesaian krisis itu secara baik.
Malah, Istana Negeri Sembilan dalam kenyataan pada 17 November turut memaklumkan, Tuanku Muhriz, telah menyatakan persetujuan untuk menerima menghadap Datuk Ismail pada 10 pagi, 20 November.
Ia dilihat satu perkembangan baik selepas krisis berlarutan antara kededua pihak mengenai pertikaian kedudukan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan sebelum ini.
Istana Negeri Sembilan yang mengeluarkan kenyataan menyusuli kenyataan BN mengenai peletakan jawatan Datuk Ismail itu, memaklumkan pihaknya belum mengesahkan ketulenan surat peletakan jawatan Datuk Ismail sebagai Menteri Besar.
Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan menegaskan bahawa berdasarkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan, sebarang peletakan jawatan Menteri Besar perlu dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan Yamtuan (sebutan bagi Yang di-Pertuan Besar).
Menurut kenyataan itu, surat peletakan jawatan Datuk Ismail hanya diserahkan ke Istana Hinggap di Seremban, Negeri Sembilan, pada 12.16 tengah malam, 17 November, kira-kira 80 minit selepas BN mengeluarkan kenyataan mengenai peletakan jawatan Datuk Ismail di akaun Facebook.
Surat berkenaan, menurut kenyataan Istana itu, telah dihantar oleh seorang individu yang memperkenalkan dirinya sebagai Hamidi daripada firma guaman Shahrul Hamidi & Haziq.
Penyerahan surat peletakan jawatan itu berlaku hanya beberapa jam selepas Istana Negeri Sembilan, memberikan perkenan (persetujuan) menerusi aplikasi WhatsApp pada 8.38 malam, 16 November, terhadap permohonan Datuk Ismail sebelum itu untuk menghadap Tuanku Muhriz.
“Perkara ini (WhatsApp persetujuan Tuanku Muhriz menerima menghadap) telah diakui terima oleh beliau (Datuk Ismail). Pihak Istana belum mengesahkan ketulenan surat tersebut (peletakan jawatan) yang menurut Datuk Zambry, telah ditandatangani oleh Datuk Ismail,” kata kenyataan itu.
Bagaimanapun, Datuk Zahid ketika ditemui media Malaysia, menafikan bahawa BN telah mendahului Istana Negeri Sembilan dalam mengesahkan peletakan jawatan Datuk Ismail itu.
Datuk Zahid juga berkata partinya sudah menyerahkan satu nama calon Menteri Besar Negeri Sembilan kepada Tuanku Muhriz, pada hari sama surat peletakan jawatan Datuk Ismail diserahkan.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri, berkata Umno tidak pernah mengarahkan Datuk Ismail meletakkan jawatan Menteri Besar, sebaliknya keputusan itu dibuat atas kehendak sendiri.
Menurutnya ia berkemungkinan bagi membolehkan permasalahan yang berlaku di negeri berkenaan dirungkaikan secepat mungkin.
“Peletakan jawatan itu dibuat oleh Datuk Ismail sendiri. Tidak timbul soal Umno mengarahkan beliau berbuat demikian.
“Beliau tidak memberikan alasan. Mungkin atas rasa kesedaran bahawa beliau mahu supaya permasalahan ini dapat dirungkaikan dengan secepat yang mungkin,” katanya lapor media Malaysia.