Topik diikuti
Pergi ke BHkuPeluru berpandu AS sasar Iran ketika usaha redakan ketegangan masih kabur
Peluru berpandu AS sasar Iran ketika usaha redakan ketegangan masih kabur
Netanyahu bakal lawat AS dan bertemu Trump pada 28 Jul
Peluru berpandu AS sasar Iran ketika usaha redakan ketegangan masih kabur
WASHINGTON: Amerika Syarikat terus menyerang Iran dengan peluru berpandu di seluruh Iran pada 24 Julai dan Presiden Donald Trump berikrar untuk mengenakan “hukuman ketenteraan besar” ke atas Teheran dan sekutunya Houthi di Yaman.
Serangan itu dilancarkan meskipun beliau sekali lagi membuka pintu kepada perjanjian diplomatik dengan Iran.
Dua minggu selepas gencatan senjata yang bertujuan untuk menamatkan perang dibubar, angkatan tentera Iran bertindak balas dengan menyerang pangkalan Amerika di negara Arab berjiran dan memberi amaran bahawa mereka boleh menyerang bangunan bukan tentera yang digunakan oleh kakitangan Amerika di sana.
Encik Trump telah mengancam sejak kebelakangan ini untuk meluaskan sasaran ke loji tenaga dan jambatan Iran, mengerahkan tentera darat untuk merampas hab minyaknya di Pulau Kharg, dan mengebom tapak berkaitan nuklear bawah tanah yang dikenali sebagai Gunung Pickaxe.
Namun, pada 24 Julai, Encik Trump berkata beliau belum membuat keputusan mengenainya.
“Kami sedang bercakap dengan mereka,” kata Encik Trump kepada pemberita di Rumah Putih.
“Setakat ini saya rasa mereka paling serius yang pernah kita lihat, tetapi itu tidak bermakna kita sudah sampai ke sana,” tambahnya.
Ditanya apakah strategi keluar untuk perang Iran, beliau berkata: “Terdapat jalan keluar bagi tentera dengan kita teruskan seperti yang kita ada, dan kita juga boleh menjadikannya dos yang lebih berat, dan ia mengalahkan semua yang mereka ada. Atau terdapat strategi yang lebih bijak iaitu dengan memeterai perjanjian.”
Tetapi beliau menambah: “Kita sudah bersedia. Kita bersedia untuk pergi.”
Beliau menyatakan Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, akan melawat Amerika minggu depan dan mereka berdua dijangka bertemu pada 28 Julai apabila perang Amerika-Israel ke atas Iran genap lima bulan.
Dalam pada itu, sekatan laluan air utama Selat Hormuz telah menimbulkan kebimbangan tentang kemelesetan ekonomi global.
Houthi, yang mengawal utara dan barat Yaman, juga telah mengisytiharkan sekatan tentera laut ke atas Arab Saudi, yang telah mengalihkan berjuta-juta tong minyak melalui saluran paip setiap hari ke Laut Merah untuk mengelak sekatan hampir sepenuhnya oleh Iran ke atas Selat Hormuz.
Susulan dakwaan Houthi bahawa mereka telah menyerang dua kapal tangki Saudi di Laut Merah pada 23 Julai, Encik Trump berkata beliau akan meminta Iran bertanggungjawab atas sebarang serangan selanjutnya oleh kumpulan tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, tentera Amerika telah melancarkan serangan udara ke atas Iran pada lewat 23 Julai dan awal 24 Julai – sekali gus merupakan serangan 13 malam berturut-turut.
Dalam satu kenyataan di platform X, Kementerian Kesihatan Iran berkata 59 orang telah terbunuh dan 666 cedera sejak pertempuran dengan tentera Amerika bersambung semula pada akhir Jun.– Reuters.