SEPANG (Selangor): Seorang pemandu lori dan pembantunya ditahan bersama rokok yang disyaki tidak bercukai kastam bernilai RM13.45 juta ($4 juta) di Plaza Tol MEX, Lebuhraya KL-Putrajaya, Cyberjaya, pada 3 Ogos.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, berkata kedua-dua lelaki warga Malaysia berusia 35 dan 38 tahun itu ditahan pada 2.30 petang ketika sedang memandu lori jenis Hino.
“Pemeriksaan ke atas kenderaan berkenaan telah membawa kepada penemuan pelbagai jenis rokok yang disyaki tidak bercukai kastam.
“Hasil operasi tersebut, pihak polis berjaya merampas sebanyak 566 master case atau kotak besar (satu master case mengandungi 50 karton rokok) tidak sah yang terdiri daripada pelbagai jenama,” katanya pada sidang media pada 11 Ogos, lapor Astro Awani.
Datuk Shazeli berkata selain rokok, turut dirampas ialah sebuah lori jenis Hino, satu anak kunci lori, dua telefon bimbit dan empat helai kertas arahan penyerahan.
Beliau berkata hasil semakan mendapati kedua-dua suspek itu mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan jenayah dan penyalahgunaan dadah.
Datuk Shazeli berkata kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang daripada 10 kali jumlah duti kastam atau RM100,000 (yang mana lebih besar), dan tidak lebih 20 kali nilai barang atau RM500,000 (yang mana lebih besar), atau penjara tidak kurang daripada enam bulan dan maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Beliau berkata kedua-dua lelaki itu telah didakwa di Mahkamah Majistret Sepang, Selangor, pada 7 Ogos dan sebutan semula kes pada 9 September nanti.
Sementara itu dalam satu kes berasingan di Alor Setar, Kedah, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) berjaya mematahkan cubaan menyeludup 2,500 liter diesel menggunakan sebuah treler di Kompleks Kuarantin, Imigresen, Kastam dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, pada 11 Ogos.
Ketua Bahagian Operasi Khas AKPS Bukit Kayu Hitam, Encik Saiful Jefrey, berkata kenderaan dari negara jiran itu ditahan dalam pemeriksaan rutin agensi itu yang dijalankan sekitar 8.30 hingga 11 pagi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg