KOTA BHARU (Kelantan): Pasukan Gerakan Am (PGA) Malaysia menumpaskan kegiatan penyeludupan dan penjualan rokok putih serta keretek apabila merampas hampir dua juta batang rokok itu dalam serbuan sepanjang tiga hari bermula 6 Julai lalu.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata serbuan yang dibuat membabitkan pangkalan haram, premis penjualan dan jeti di sekitar Tumpat, Kota Bharu serta Pasir Mas dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan mencecah RM3 juta ($902,633).
“Rampasan pertama dibuat oleh Batalion 8 PGA di tiga lokasi di Tumpat iaitu jeti Kampung Kuala Tanjong, Kampung Morak dan Pantai Geting pada 6 Julai hingga semalam (8 Julai) dalam penugasan Op Taring Alpha 1.
“Hasil serbuan mendapati 1,137,400 batang rokok putih ditemui di tiga lokasi itu dan seorang lelaki berusia 29 tahun ditahan di Kampung Morak yang dipercayai mengambil upah menghantar rokok seludup ke lokasi ditetapkan, manakala tiada tangkapan dibuat di dua lagi lokasi.
“Anggaran rampasan keseluruhan bernilai RM2.12 juta dan diserahkan ke Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(d) dan 135(1)(e) Akta Kastam 1967,” katanya dalam kenyataan media di sini pada 9 Julai.
Rampasan seterusnya dibuat oleh PGA9 di pangkalan haram Pulau Tengkorak, Tumpat, serta sebuah premis yang menjual rokok seludup di Kampung Mulong di sini, pada 6 dan 7 Julai lalu dalam Op Taring Wawasan Kelantan.
Datuk Nik Ros Azhan berkata hasil serbuan mendapati 694,000 batang rokok putih dan 71,040 batang rokok keretek ditemui di dua lokasi itu.
“Pemilik premis adalah dua lelaki warga Pakistan dipercayai menjual rokok ini ke pasaran tempatan, manakala tiada tangkapan dibuat di pangkalan haram Pulau Tengkorak.
“Anggaran rampasan keseluruhan bernilai RM850,000 dan diserahkan ke IPD Kota Bharu dan IPD Tumpat untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Serbuan terakhir dibuat di sebuah premis di Bunut Susu, Pasir Mas apabila PGA7 merampas 11,600 batang rokok putih dan 1,720 batang rokok keretek yang ditemui di bawah tangga dalam premis itu.
Menurut beliau, penjaga premis dipercayai pemilik menjual rokok itu ke pasaran tempatan.
“Anggaran rampasan keseluruhan bernilai RM25,000 dan diserahkan ke IPD Pasir Mas untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 135(e) Akta Kastam 1967,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg