Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemandu rempuh polis trafik di Johor didakwa pandu mabuk

Jul 18, 2024 | 11:51 AM
mabuk, pandu
Ng Wee Long dituduh memandu di bawah pengaruh alkohol dan merempuh hingga mencederakan Koperal Mohamad Rasul Mohd Yusof, yang sedang mengarahkan trafik di Kilometer 3.6 Jalan Pantai, menghala ke Permas Jaya pada pagi 14 Julai.   - Foto NSTP

JOHOR BAHRU: Seorang penyelia restoran makanan laut dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada 18 Julai atas tuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol hingga menyebabkan kecederaan seorang anggota polis trafik.

Ng Wee Long, 34 tahun, mengaku tidak bersalah selepas tuduhan itu dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Nur Fatin Mohamad Farid.

Menurut kertas tuduhan, lelaki bujang itu memandu kereta dalam keadaan mabuk sepanjang Kilometer 3.6 Jalan Pantai, menghala ke Permas Jaya pada 7.05 pagi 14 Julai.

Ini mengakibatkan kereta itu merempuh dan mencederakan Koperal Mohamad Rasul Mohd Yusof, yang sedang mengarahkan trafik di situ ekoran satu kemalangan jalan raya tidak berkaitan.

Paras alkohol dalam darah Ng dikatakan 121 miligram (mg) setiap 100 mililiter (ml), iaitu 71mg lebih tinggi daripada paras yang dibenarkan, 50mg setiap 100ml darah.

Tuduhan terhadapnya mengikut Seksyen 44(1A)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda hingga RM50,000 ($14,369), lapor Berita Harian Malaysia.

Jika sabit kesalahan, Ng juga boleh hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu hingga tujuh tahun.

Pegawai Pendakwa Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Johor, Inspektor S. Vikineswary, meminta mahkamah mengenakan ikat jamin RM15,000.

Ng, yang tidak diwakili peguam, memohon jumlah itu dikurangkan dengan alasan hanya dia yang menanggung perbelanjaan bulanan keluarganya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM9,000, dengan syarat lesen memandunya digantung hingga tamat prosiding mahkamah dan dia mesti melaporkan diri di balai polis Plentong sebulan sekali.

Kes itu ditetapkan untuk sebutan semula pada 25 Ogos bagi serahan dokumen dan pelantikan peguam.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg