Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemandu warga S’pura gaduh di lebuh raya M’sia didenda RM5,500

Feb 14, 2024 | 2:09 PM
Warga Singapura, Soh Kian Hui, 45 tahun, didenda RM5,500 oleh Mahkamah Majistret Muar, Johor, selepas mengaku salah terhadap tuduhan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dalam insiden pergaduhan di Lebuhraya Utara-Selatan dekat Pagoh, Johor, pada 10 Februari.
Warga Singapura, Soh Kian Hui, 45 tahun, didenda RM5,500 oleh Mahkamah Majistret Muar, Johor, selepas mengaku salah terhadap tuduhan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dalam insiden pergaduhan di Lebuhraya Utara-Selatan dekat Pagoh, Johor, pada 10 Februari. - Foto HARIAN METRO

MUAR: Lelaki warga Singapura yang terbabit dalam pergaduhan menggunakan tongkat kayu di Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) dekat Pagoh, Johor, pada 10 Februari lalu didenda RM5,500 ($1,545) oleh Mahkamah Majistret Muar, Johor pada 14 Februari.

Majistret Fatin Dalilah Khalid menjatuhkan hukuman itu selepas Soh Kian Hui, 45 tahun, mengaku salah terhadap tuduhan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Mengikut kertas tuduhan, pemandu teksi di Singapura itu didakwa dengan niat memecahkan cermin Toyota Fortuner milik Encik Khairul Husni Shah Jamil, 31 tahun, hingga menyebabkan kerugian RM2,502.

Kejadian itu berlaku di Kilometer 139.6 di Plus dekat Pagoh pada 1.58 tengah hari, 10 Februari.

Hukuman bagi kesalahan itu ialah tertuduh boleh dipenjara sehingga lima tahun atau didenda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh bertindak memecah cermin kereta mangsa menggunakan tongkat kerana tidak berpuas hati apabila kenderaannya dihalang daripada menggunakan laluan kecemasan.

Tertuduh berjaya ditahan di Genting Highlands, Pahang, pada 3.30 pagi, 12 Februari.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Muar, Penolong Pesuruhjaya Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata mangsa dalam perjalanan ke Kuala Lumpur sebelum ternampak Mitsubishi Lancer dipandu tertuduh menggunakan laluan kecemasan.

Katanya keadaan itu mencetuskan pertengkaran mulut dan tertuduh mengetuk cermin kenderaan mangsa sebelum beredar.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Encik Mohammad Ariff Marzuki, manakala tertuduh diwakili Cik Norain Sakina Zikri.

Terdahulu, pihak pendakwaan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal memandang kesalahan dilakukan tertuduh sangat serius.

Hujahnya, kejadian itu berlaku di lokasi berbahaya dan boleh mencetuskan perkara tidak diingini terhadap pengguna lebuh raya.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman denda dan mengarahkan tertuduh dipenjara 12 bulan jika gagal membayar denda.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg