‘Keghairahan’ pembangkang mendesak Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, meletak jawatan, khususnya menerusi himpunan di Kuala Lumpur pada 26 Julai lalu, terus dipersoalkan bukan saja oleh rakyat, bahkan juga oleh pengamat politik negara itu.
Rata-rata mereka berpandangan Perikatan Nasional (PN) sendiri dilihat gagal menampilkan calon alternatif yang setanding wibawa Datuk Anwar.
Malah, PN turut dilihat tidak mampu membentangkan visi penting untuk membela nasib rakyat ketika mereka mendakwa kerajaan pimpinan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu gagal menyelesaikan isu ekonomi dan kos sara hidup warganya.
Modal PN yang hanya mampu ‘kitar semula’ wajah Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebagai calon Perdana Menteri dalam usaha penggulingan itu disifatkan sebagai bukti pembangkang ketandusan calon pemimpin berwibawa.
Itu pun dilihat bukan calon persetujuan bersama PN berdasarkan percanggahan kenyataan pemimpin dua parti utama dalam blok politik itu – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Islam SeMalaysia (PAS).
Penganalisis politik daripada Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid, berpendapat pembangkang masih terperangkap dalam krisis dalaman, khususnya dalam kalangan parti utama seperti Bersatu dan PAS.
“Bersatu sendiri tidak sepakat antara menyokong Presidennya, Tan Sri Muhyiddin atau Timbalannya, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
“Manakala PAS pula berbelah bahagi dengan pencalonan Naib Presidennya, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar dan Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang, yang dalam keadaan kesihatan membimbangkan,” ujarnya kepada Berita Harian (BH).
Lebih kritikal, Profesor Dr Ahmad Fauzi, berkata pembangkang masuk ke medan demonstrasi tanpa membawa poster boy – satu tanda jelas mereka tidak bersedia untuk menampilkan pengganti Datuk Anwar.
Dalam satu tinjauan oleh firma penyelidik Merdeka Center pada Mei, ia mendapati majoriti pengundi Malaysia memberikan penarafan positif 55 peratus kepada Datuk Anwar sebagai Perdana Menteri, meningkat berbanding 43 peratus pada Jun 2024.
Sementara dalam satu tinjauan lain oleh Institut Masa Depan Malaysia (Masa) pula mendapati, Tan Sri Muhyiddin kekal sebagai calon Perdana Menteri paling popular, mendahului pesaingnya, Datuk Hamzah yang juga Ketua Pembangkang.
Pengamat politik daripada Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub, turut mempertikaikan kewibawaan calon PN untuk menggantikan Datuk Anwar sebagai Perdana Menteri.
“Saya tak nampak seorang pun dari PN yang punya kaliber dan karisma. Paling tinggi pun hanya layak jadi timbalan perdana menteri atau menteri biasa saja,” katanya kepada BH.
Menurut Dr Mohammad Tawfik, belum ada calon Perdana Menteri daripada pembangkang yang mampu mencatat kejayaan dalam menangani konflik serantau sebagaimana yang berjaya dilakukan Datuk Anwar dalam ketegangan berdarah perebutan sempadan antara Thailand dengan Kemboja, baru-baru ini.
Sementara itu, penganalisis politik USM, Profesor Datuk Dr Sivamurugan Pandian, pula menegaskan bahawa pembangkang perlu menyelesaikan persoalan asas terlebih dahulu, iaitu siapakah calon Perdana Menteri mereka, yang perlu dicapai menerusi persetujuan bersama dalam PN.
“Tanpa konsensus ini, apa jua desakan termasuk untuk Datuk Anwar meletak jawatan akan kelihatan kosong dan tidak berstrategi,” jelasnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg