Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Skandal Adun minta rasuah: Pemberi maklumat tunjuk audio pada SPRM

Pemberi maklumat minta jaminan tidak akan disiasat dan diberi perlindungan
Nov 11, 2024 | 12:31 PM
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki. - Foto MALAYSIAKINI

KUALA LUMPUR: Pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah bertemu seorang peguam yang juga pemberi maklumat berhubung kes dakwaan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di sebuah negeri, berbincang tentang rasuah untuk mendapatkan lesen projek.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata peguam berkenaan memainkan klip audio selama 17 saat yang memperdengarkan perbualan beberapa individu didakwa Adun, mengenai wang rasuah membabitkan ratusan ribu ringgit, lapor MalaysiaKini.

Menurut beliau, peguam itu memberitahu bahawa anak guamnya sedia memberikan semua bukti dan keterangan di mahkamah, tetapi meminta jaminan agar anak guam terbabit tidak disiasat dan diberi perlindungan.

Bagaimanapun, pegawai SPRM tidak bersetuju kerana ia tidak selari dengan prosedur yang ditetapkan.

Tan Sri Azam menjelaskan bahawa SPRM tidak boleh memberikan jaminan bertulis tentang kekebalan tanpa maklumat terperinci mengenai salah laku yang didakwa berlaku.

Beliau menegaskan bahawa undang-undang menyatakan bahawa apabila individu itu memberikan maklumat kepada pihak berkuasa, beliau akan dilindungi di bawah undang-undang, tetapi ia boleh dibatalkan jika individu itu didapati turut terlibat dalam kesalahan berkenaan.

“Saksi berkenaan telah disarankan membuat aduan rasmi bagi membolehkannya mendapat perlindungan di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010,” katanya.

Dalam pada itu, pemberi maklumat yang memiliki bukti video berhubung skandal rasuah didakwa melibatkan beberapa ahli politik itu telah menghantar surat rasmi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, meminta diberi perlindungan sebelum membuat laporan kepada SPRM.

Surat itu, yang salinannya diserahkan kepada Malaysiakini, mendakwa selain lapan Adun itu, ‘pemimpin tertinggi’ negeri berkenaan juga terlibat dalam skandal berkenaan.

Ia mengandungi dakwaan tertentu penyalahgunaan kuasa terhadap pemimpin tertinggi itu.

Lapan video berkenaan didakwa memaparkan Adun berbeza, yang didakwa menerima ratusan ribu ringgit bagi menyokong permohonan sebuah syarikat untuk projek di negeri mereka.

Perbincangan dalam video itu melibatkan ahli perniagaan, yang wajahnya tidak kelihatan, meminta ahli politik, termasuk mereka yang memegang jawatan kanan, memulangkan wang itu kerana lesen untuk projek itu telah dibatalkan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg