Pembinaan RTS Link lancar, perkembangan dahului jadual asal

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pembinaan RTS Link lancar, perkembangan dahului jadual asal

Momentum positif terus diperkukuh dengan siapnya jalur keluli fasad dalaman di Stesen RTS Link Bukit Chagar pada 21 Jan
Jan 22, 2026 | 3:37 PM

Pembinaan RTS Link lancar, perkembangan dahului jadual asal

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
RTS, perkembangan, pembinaan, jadual, lancar
Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Mohd Zarif Hashim (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Rohas Tecnic, Encik Amirul Baharom, ketika meninjau perkembangan pembinaan projek Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) di Johor Bahru. - Foto MRT CORP

Pembinaan projek Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) yang menghubungkan Johor Bahru dan Singapura mencatat perkembangan memberangsangkan, dengan pelaksanaan keseluruhan kerja berada pada landasan dan jauh mendahului jadual asal.

Momentum positif ini terus diperkukuh apabila Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) menandakan satu pencapaian utama dalam pembinaan RTS Link, dengan siapnya jalur keluli fasad dalaman di Stesen RTS Link Bukit Chagar, Johor Bahru, pada 21 Januari.

Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Mohd Zarif Hashim, berkata pencapaian tersebut bukan sekadar melibatkan pembinaan fizikal semata-mata, tetapi mencerminkan keupayaan industri tempatan dalam melaksanakan projek infrastruktur berskala besar mengikut piawaian antarabangsa.

“Saya percaya RTS Link bukan saja akan menjadi mercu tanda bagi Johor Bahru, malah setanding dengan stesen kereta api utama di peringkat dunia.

“MRT Corp menetapkan piawaian yang jelas dan harapan tinggi sejak awal lagi, dan Rohas Sediabina yang bertanggungjawab dalam kerja pemasangan fasad ini telah berjaya menghadapinya, menunjukkan keupayaan pelaksanaan dan kualiti pada tahap tertinggi,” katanya dalam satu kenyataan.

Datuk Mohd Zarif, berkata hanya dalam tempoh dua tahun sejak kontrak dianugerahkan pada 2024, pasukan ini telah mencapai kemajuan yang mengagumkan pada sebuah struktur berskala besar dan kompleks, mencerminkan keupayaan kejuruteraan, penyelarasan dan komitmen yang kuat di tapak.

“Apa yang kita saksikan hari ini adalah hasil kerjasama rapat antara kontraktor dan pasukan projek RTS, bekerja bersama-sama merealisasikan RTS Link sebagai pintu masuk antarabangsa,” katanya lagi.

Menurut Datuk Mohd Zarif, siapnya jalur keluli fasad dalaman itu merupakan titik perubahan kritikal bagi projek berkenaan.

Jalur dalaman tersebut menurutnya berfungsi sebagai bumbung kekal stesen, memberikan perlindungan sepenuhnya ke atas kawasan platform serta membolehkan struktur stesen dikenal pasti dengan jelas daripada segi reka bentuk dan fungsi.

Dengan bumbung kini dipasang, Datuk Mohd Zarif berkata struktur perlindungan sementara di atas landasan boleh ditanggalkan, sekali gus membuka ruang tapak pembinaan secara menyeluruh.

“Keadaan ini membolehkan kontraktor bergerak lebih bebas untuk mempercepatkan kerja platform, kemasan seni bina serta pemasangan sistem secara lebih tersusun dan cekap,” katanya.

Pada masa sama, Datuk Mohd Zarif, berkata kerja fasad kini memasuki fasa akhir, dengan pemasangan panel luaran dan kaca sedang dijalankan.

“Perkembangan ini membawa projek selangkah lebih dekat ke arah kesiapsiagaan operasi, sejajar dengan sasaran permulaan perkhidmatan pada penghujung 2026,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Rohas Tecnic, Encik Amirul Baharom, berkata struktur fasad Stesen RTS Link merupakan binaan yang kompleks dan memerlukan perancangan rapi, koordinasi fabrikasi serta pelaksanaan berdisiplin.

Beliau berkata, ini khususnya memandangkan kekangan ruang tapak di Bukit Chagar dan pelbagai pakej pembinaan yang berjalan serentak.

“Daripada fabrikasi berskala besar di luar tapak hingga pemasangan di tapak, pencapaian ini menunjukkan bahawa syarikat Malaysia memiliki keupayaan, kapasiti dan sistem untuk menyampaikan infrastruktur utama mengikut piawaian antarabangsa,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg