Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, akhirnya bersuara dengan peringatan dan nasihat untuk meredakan suhu yang kian membara sesama calon, ahli dan penyokong parti itu menjelang pemilihan pimpinan Pusat pada 23 Mei ini di Johor Bahru.
Datuk Anwar merangkap pengasas PKR menyifatkan pemilihan Pusat 2025 yang lebih sengit dengan penyertaan calon yang mempunyai ketokohan, banyak berjuang serta berjasa kepada parti, tidak sepatutnya menyebabkan perpecahan atau permusuhan yang boleh menjejaskan parti pada masa depan.
Justeru Datuk Anwar yang juga Perdana Menteri Malaysia mengingatkan ahli PKR supaya tidak menambahkan suhu hangat pemilihan parti kali ini.
“Jangan tambah, tingkatkan suhu kehangatan, kita leraikan dengan baik kerana walau berbeza pendapat dalam sesuatu perkara, kita tak boleh nafikan jasa khidmat yang tinggi oleh mereka ini. Sebahagiannya lebih jauh pengorbanannya, kerjanya daripada kita.
“Sesetengah persaingan itu sengit betul macam nak runtuh gunung-gunung, tetapi selesai patut bersatu semula dan kita maaf-bermaafan balik,” katanya ketika berucap merasmikan Pejabat PKR Cabang Langkawi di Langkawi, Kedah, pada 19 Mei.
Pada pemilihan kali ini, pertembungan paling sengit dilihat bagi jawatan Timbalan Presiden yang ditandingi penyandang sekarang, Datuk Seri Rafizi Ramli, dan akan dicabar Naib Presiden PKR yang juga puteri sulung Datuk Anwar, Cik Nurul Izzah.
Sejak awal tempoh kempen berlangsung, gelombang sokongan ahli parti termasuk pimpinan tertinggi dan akar umbi terhadap Cik Nurul Izzah begitu ketara, sementara Datuk Rafizi yang memegang jawatan Timbalan Presiden sejak 2022 dilihat semakin hilang pengaruh dan sokongan.
Perkembangan itu juga menyaksikan perdebatan mulut sesama calon, pemimpin parti dan ahli terutama penyokong kededua pihak sehingga wujud – kem Rafizi dan kem Izzah – lalu mencetuskan suasana tegang dan pergolakan dalaman yang menjejas imej PKR.
Kelantangan Datuk Rafizi mengeluarkan beberapa kenyataan kurang manis tentang PKR sepanjang tempoh kempen menyebabkan Ahli Parlimen (AP) Pandan (Kuala Lumpur) itu berdepan ‘serangan balas’ ahli parti termasuk rakan pimpinan tertinggi.
Datuk Anwar mengakui setiap calon yang bertanding layak untuk dipilih sebagai pemimpin dan beliau memberi sokongan tanpa membezakan kebolehan setiap calon.
“Dalam kalangan calon yang bertanding jawatan tertinggi parti itu adalah sahabat yang pernah sama-sama berjuang sejak awal penubuhan PKR.
“Disebabkan itu, ahli PKR terutama yang baru terbabit dalam parti perlu mengingat jasa dan pengorbanan pimpinan terbabit tanpa merendahkan sumbangan yang telah mereka berikan sejak sekian lama.
“PKR dibina atas prinsip dan nilai akhlak yang tinggi sehingga mampu menjadi antara parti yang memerintah negara ketika ini.
“Saya tak nafikan kadang-kadang keterlanjuran ini menyebabkan orang lupa bahawa teras parti ini adalah soal nilai dan prinsip yang kita perlu jaga. Kalau kita sedar hal ini, maka soal akhlak menjadi keutamaan,” katanya.
Selain jawatan Timbalan Presiden, pemilihan pusat PKR juga sengit dengan persaingan 12 calon, termasuk empat penyandang untuk merebut jawatan Naib Presiden.
Turut dipertandingkan ialah jawatan bagi 20 ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg