Topik diikuti
Pergi ke BHkuPemimpin politik digesa jalankan kempen matang berteraskan fakta pada PRN Johor
Pemimpin politik digesa jalankan kempen matang berteraskan fakta pada PRN Johor
Pemimpin politik digesa jalankan kempen matang berteraskan fakta pada PRN Johor
Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini disifatkan amat penting dalam menentukan hala tuju negeri menuju status maju menjelang 2030, menuntut kempen yang matang dan berteraskan fakta.
Penyandang Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad, menggesa pemimpin politik agar lebih berhati-hati dalam kenyataan mereka bagi mengelak kekeliruan atau persepsi songsang dalam kalangan rakyat.
Beliau menegaskan bahawa budaya membuat tuduhan tanpa asas sebelum menarik balik kenyataan bukanlah pendekatan sihat dalam proses demokrasi.
“Saya merasakan kenyataan yang dibuat oleh pihak tertentu baru-baru ini sebenarnya cuba mengambil kesempatan ketika pilihan raya semakin hampir.
“Apabila tuduhan dilemparkan secara melulu, ia boleh memberi gambaran seolah-olah kerajaan negeri tidak berlaku adil atau gagal menunaikan tanggungjawabnya kepada semua wakil rakyat,” katanya kepada Berita Harian (BH).
Beliau mengulas tindakan Penyelaras Parti Keadilan Rakyat (PKR) DUN Bukit Batu, Encik Arthur Chiong Sen Sern, yang menarik balik dakwaan kononnya tiada peruntukan diberikan oleh kerajaan negeri kepada wakil rakyat pembangkang pada tahun ini.
Menurut Datuk Pandak, isu peruntukan kepada wakil rakyat pengimbang bukanlah perkara baharu dan telah diamalkan sejak era pentadbiran Datuk Hasni Mohammad, sebelum diteruskan di bawah kepimpinan Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Jelasnya, rakyat tidak seharusnya disajikan dengan dakwaan yang tidak tepat semata-mata untuk meraih sokongan politik.
“Kalau mahu berkempen, berkempenlah berdasarkan fakta dan realiti. Ceritakan apa yang telah dilakukan kerajaan, apa yang dilakukan wakil rakyat dan apa yang boleh ditawarkan kepada rakyat.
“Jangan kita hidangkan pengundi dengan perkara-perkara negatif yang akhirnya mempengaruhi mereka membuat keputusan berdasarkan persepsi, bukannya fakta,” katanya.
Datuk Pandak yakin rakyat Johor semakin matang dalam membezakan antara kritikan membina dengan tuduhan bermotifkan politik.
Mandat pada PRN kali ini amat penting untuk memastikan kesinambungan agenda pembangunan negeri demi merealisasikan Maju Johor 2030.
Sebagai penyandang DUN Kota Iskandar dengan lebih 132,000 pengundi, fokus utama beliau adalah memastikan pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) memberi manfaat langsung kepada rakyat.
Selain itu, isu kesesakan lalu lintas, perumahan mampu milik, peluang pekerjaan belia, serta kemudahan awam akan terus menjadi keutamaan.
Pembangunan yang dirancang bukan sahaja untuk menarik pelaburan, malah membuka peluang pekerjaan berkualiti kepada anak jati Johor.
“Pilihan raya ini bukan sekadar soal politik, tetapi soal masa depan Johor. Sebab itu rakyat perlu membuat pilihan berdasarkan rekod, prestasi dan kemampuan menawarkan penyelesaian, bukannya berdasarkan persepsi atau fitnah,” katanya.
