JOHOR BAHRU: Seorang wanita yang juga pempengaruh warga Singapura didenda RM1,000 ($307.5) oleh Mahkamah Majistret pada 28 Januari atas tuduhan membuat laporan palsu berkaitan dirinya hampir diculik di sebuah pusat beli-belah.
Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin menjatuhkan hukuman itu ke atas Amyra Laila Ho, 45 tahun, selepas dia mengaku bersalah sebaik tuduhan dibacakan terhadapnya dalam bahasa Inggeris.
Berdasarkan kertas tuduhan, wanita itu didakwa memberi maklumat palsu kepada seorang anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan (JBS) di Balai Polis Larkin di sini, pada 1.02 pagi, 22 Januari lalu.
Berdasarkan fakta kes, Amyra dalam laporannya mendakwa pada 10 Januari lalu, kira-kira 1 petang, dia didatangi seorang lelaki dan seorang wanita di sebuah pusat beli-belah yang terletak di Jalan Seladang di Taman Abad di sini, lapor The Star.
Lelaki dan wanita itu mempromosikan teh Cina kepadanya tetapi dia menolak tawaran mereka sebelum wanita itu menegaskan dia menghidu daun teh, yang didakwanya menyebabkan dia berasa kebas dan kepalanya pening.
Amyra mendakwa lagi bahawa lelaki itu kemudiannya memegang lengan kanannya sambil mendakwa dia suaminya, yang dinafikan Amyra manakala wanita itu telah mengambil beg tangannya yang mengandungi RM400.
Dia melakukan kesalahan di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Amyra mengaku bersalah atas kesalahan itu.
Timbalan Pendakwa Raya Nur Fatihah Mohd Nizam memohon hukuman setimpal ke atas tertuduh sebagai satu bentuk pengajaran. Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan.
Majistret Hidayatul Syuhada kemudian menjatuhkan hukuman denda RM1,000 atau penjara tiga minggu terhadapnya jika tidak membayar denda tersebut. Amyra membayar denda tersebut.
Sebelum ini Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar, berkata pihaknya memberi jaminan bahawa tahap keselamatan dan ketenteraman awam di Johor adalah terkawal dan komited memantau senario keselamatan negeri itu.
“Kami ingin memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang dengan sengaja menyebarkan khabar angin atau memanipulasi fakta dengan tujuan menyebabkan kegusaran kepada awam terutama menyentuh isu keselamatan,” tegasnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg