Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rompakan bersenjata bawa kepada pembongkaran sindiket dadah di JB, 3 warga S’pura ditahan

Jan 27, 2025 | 4:32 PM
Foto hiasan
Foto hiasan - Foto hiasan

JOHOR BAHRU: Kehidupan mewah tiga warga Singapura berakhir secara tiba-tiba apabila sindiket dadah yang mereka tubuhkan baru-baru ini terbongkar berikutan penahanan seorang ‘rakan’ yang merupakan seorang warga tempatan.

Ketua Polis Daerah Johor Baru Selatan, Penolong Pesuruhjaya Raub Selamat, berkata kes itu bermula dengan satu kes samun di sebuah kedai snuker di Stulang Laut, di sini pada 6 pagi, 17 Januari.

“Seorang suspek berusia 36 tahun berjaya melarikan wang tunai RM1,060 ($326) selepas mengugut juruwang berkenaan dengan pisau lipat.

“Suspek ditahan pada 22 Januari 4.20 pagi oleh Unit Siasatan Khas di Jalan Dato’ Abdullah Tahir,” katanya pada satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Baru Selatan pada 27 Januari, lapor The Star.

Siasatan mendapati suspek mempunyai enam rekod jenayah lampau, termasuk kesalahan berkaitan dadah dan didapati positif dadah jenis methamphetamine.

Encik Raub menambah, lelaki itu didapati memiliki 3.7 kilogram (kg) dadah dipercayai ganja, ketamin dan heroin bernilai hampir RM50,000.

“Dia mengaku dadah itu milik ahli sindiket lain dan hanya bertindak sebagai pengedar kumpulan itu,” katanya.

Susulan penahanan itu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik melakukan dua serbuan pada 22 Januari di Johor Baru.

“Operasi ini membawa kepada penahanan empat individu: – dua lelaki warga Singapura, seorang wanita Singapura, dan seorang wanita Thailand, berusia 30 hingga 40 tahun.

“Ujian awal air kencing menunjukkan kesemua suspek didapati positif dadah jenis amphetamine. Seorang lelaki warga Singapura berusia 33 tahun itu turut dikehendaki kerana kesalahan dadah sebelum ini,” katanya.

Encik Raub berkata suspek dipercayai dalang kumpulan itu yang aktif sejak Disember 2024.

Dalam operasi itu, polis merampas sejumlah besar dadah termasuk 2,277.10 gram (g) heroin dianggarkan bernilai RM21,860; 1,062.80g kanabis bernilai RM3,447; 590.66g ketamin dianggarkan bernilai RM42,552; 174.00g serbuk ecstasy RM29,058; 6.30g daripada syabu (methamphetamine) bernilai RM690; 1.30g pil Erimin 5 bernilai RM100; dan 13,673ml cecair yang disyaki mengandungi dadah.

Selain itu, polis merampas wang tunai RM540, wang tunai $300 Singapura, sebuah kereta sport dan sebuah motosikal. Nilai keseluruhan dadah dan barang rampasan dianggarkan mencecah RM524,227.

Kesemua suspek kini ditahan reman sehingga 29 Januari bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dadah, Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana pengambilan dadah, dan Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 untuk tinggal secara haram di Malaysia.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg