Topik diikuti
Pergi ke BHkuPemuda Umno Johor gesa pakej rangsangan ekonomi tangani krisis tenaga
Pemuda Umno Johor gesa pakej rangsangan ekonomi tangani krisis tenaga
Pemuda Umno Johor gesa pakej rangsangan ekonomi tangani krisis tenaga
Pergerakan Pemuda Umno Johor menggesa kerajaan negeri segera memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi bagi menangani kesan krisis tenaga sejagat yang semakin memberi tekanan kepada rakyat dan sektor perniagaan.
Ketua Pemuda Umno Johor, Encik Noor Azleen Ambros, berkata ketidaktentuan ekonomi dunia ketika ini menuntut langkah proaktif bagi memastikan kestabilan ekonomi negeri terus terpelihara.
Menurut beliau, pakej rangsangan itu perlu memberi keutamaan kepada kumpulan sasar yang paling terkesan dengan kenaikan kos bahan api termasuk pengusaha bas sekolah, bas pelancong, pengusaha bot pelancongan di Mersing, nelayan kecil serta golongan petani.
Jelasnya, bantuan itu penting bagi memastikan kelangsungan rantaian bekalan makanan negeri tidak terjejas, selain membantu golongan berkenaan terus beroperasi dalam keadaan ekonomi mencabar.
“Dalam masa sama, kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan perlu melaksanakan langkah segera seperti pemberian rebat, potongan sewa serta pengurangan cukai premis.
“Langkah ini dapat meringankan beban peniaga kecil dan sederhana yang kini berdepan peningkatan kos operasi,” katanya dalam satu kenyataan pada 27 April.
Beliau berkata demikian selepas mesyuarat Pemuda Umno Johor diadakan di Johor Bahru.
Encik Noor Azleen berkata Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor turut disaran menawarkan diskaun sewa kepada penyewa rumah bagi membantu mereka menghadapi tekanan kos sara hidup.
Selain itu, beliau mencadangkan agar golongan bujang berusia bawah 40 tahun turut dipertimbangkan sebagai penerima Bantuan Kasih Johor (BKJ), selain memasukkan pekerja pos dan pengawal keselamatan sebagai penerima bantuan.
Bantuan Kasih Johor adalah sebuah inisiatif bantuan kewangan dan kebajikan yang diperkenalkan Kerajaan Negeri Johor, khusus untuk membantu rakyat Johor yang memerlukan, terutamanya golongan B40 (40 peratus terendah dari segi pendapatan isi rumah) dan mereka yang terkesan dengan kos sara hidup.
Menurutnya, langkah tersebut selari dengan realiti kos sara hidup yang semakin meningkat dan memberi kesan kepada pelbagai lapisan masyarakat.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata Pemuda Umno Johor menyambut baik pelaksanaan gagasan Rumah Bangsa yang berjaya menarik penyertaan semula ribuan ahli parti.
“Pelaksanaan gagasan Rumah Bangsa oleh Umno yang telah berjaya membawa kembali seramai 6,252 pemimpin pelbagai peringkat ke dalam parti,” katanya.
Tambahnya, peningkatan pendaftaran ahli baharu, khususnya dalam kalangan anak muda, melalui sistem atas talian mencerminkan keyakinan generasi muda terhadap perjuangan parti.
“Sehubungan itu, Pemuda Umno Johor akan menggerakkan kempen secara besar-besaran bagi menarik lebih ramai golongan muda menyertai parti secara atas talian serta memperkukuh gerak kerja di peringkat akar umbi.
“Setiap bahagian di seluruh negeri Johor turut diseru untuk menganjurkan majlis khas bagi meraikan kehadiran ahli baru di bahagian masing-masing,” katanya.
