Topik diikuti
Pergi ke BHkuPemuda Umno Simpang Renggam persoal tindakan bekas Adun Layang-Layang keluar parti
Pemuda Umno Simpang Renggam persoal tindakan bekas Adun Layang-Layang keluar parti
Pemuda Umno Simpang Renggam persoal tindakan bekas Adun Layang-Layang keluar parti
Pemuda Umno Bahagian Simpang Renggam menyifatkan tindakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Layang-Layang, Encik Abdul Mutalib Abdul Rahim meninggalkan Umno selepas tidak dicalonkan semula dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai sesuatu yang mengecewakan dan menimbulkan persoalan mengenai prinsip perjuangannya.
Ketuanya, Encik Hafiz Shukor, berkata parti menghormati hak setiap individu untuk memilih wadah politik masing-masing, namun keputusan meninggalkan parti sejurus selepas tidak dipilih sebagai calon wajar dinilai berdasarkan prinsip, masa dan sebab tindakan itu dibuat.
Beliau berkata keadaan itu menimbulkan persoalan sama ada perjuangan individu berkenaan benar-benar berasaskan prinsip atau sekadar bertahan selagi jawatan dan pencalonan masih diberikan.
“Perbezaan antara seorang pejuang dengan pengejar jawatan tidak terserlah ketika seseorang berada di puncak kuasa. Perbezaan itu terbukti apabila parti membuat keputusan yang tidak memihak kepada kehendak peribadinya.
“Seorang pejuang akan terus berdiri bersama perjuangan walaupun tidak lagi menjadi calon. Seorang pengejar jawatan pula akan mula mencari bahtera baharu apabila peluang peribadinya tidak lagi dipenuhi,” katanya dalam satu kenyataan pada 25 Jun.
Encik Hafiz berkata bekas wakil rakyat itu pernah diberikan kepercayaan oleh Umno untuk bertanding dan berkhidmat sebagai Adun selama beberapa penggal, selain pernah diamanahkan memegang jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Johor.
Jelasnya, peluang dan kedudukan tersebut bukan diperoleh atas kekuatan individu semata-mata, sebaliknya hasil sokongan ribuan ahli, petugas dan jentera parti yang berkorban masa, tenaga serta wang ringgit bagi memastikan kemenangan calon.
Menurut beliau, keputusan parti melakukan pembaharuan dan memberi peluang kepada calon lain tidak sepatutnya dianggap sebagai penafian terhadap jasa mana-mana pihak kerana pencalonan merupakan amanah yang diputuskan berdasarkan keperluan parti, kehendak rakyat dan cabaran semasa.
“Ramai pemimpin Umno pernah tidak dicalonkan, direhatkan atau tewas dalam pilihan raya. Namun mereka tetap memilih untuk bersama parti kerana memahami bahawa perjuangan sebenar jauh lebih besar daripada kedudukan seseorang individu,” katanya.
Beliau berkata isu sebenar bukan mengenai kebebasan seseorang memilih parti politik, sebaliknya membabitkan soal konsistensi, amanah dan tanggungjawab moral terhadap parti serta jentera yang selama ini mengangkat dan mempertahankan individu berkenaan.
Encik Hafiz turut mempersoalkan mengapa perbezaan prinsip hanya dibangkitkan selepas pencalonan tidak lagi diberikan, sedangkan perkara itu tidak pernah dipersoalkan ketika jawatan dan kedudukan masih dinikmati.
Beliau berkata rakyat cukup matang untuk membezakan antara pemimpin yang terus berkhidmat walaupun tidak lagi memegang jawatan dengan mereka yang menukar haluan apabila cita-cita peribadi tidak tercapai.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh ahli dan jentera Umno supaya terus istiqamah bersama parti kerana perjuangan tidak bergantung kepada seorang individu, sebaliknya menuntut kesetiaan, keikhlasan dan kesanggupan untuk terus berkhidmat walaupun berdepan ujian.
