Pemuda Umno menuntut portal berita, Malaysiakini, memohon maaf di pentas Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2025, menyusuli kesilapan memasukkan grafik babi pada laporan berkaitan hala tuju Umno dalam Kerajaan Perpaduan.
Tuntutan itu disuarakan Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Akmal Saleh, ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Pemuda Umno sempena PAU 2025 di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur, pada 15 Januari.
“Semalam ada satu kenyataan dan artikel daripada sebuah portal berita. Artikel tentang ‘Perhimpunan Agung Umno menentukan hala tuju dalam Kerajaan Perpaduan’. Dia letak gambar babi.
“Saya tak mahu Malaysiakini sekadar menerbitkan artikel permohonan maaf. Saya dan Pemuda Umno beri kamu tempoh 24 jam.
“Kami tuntut kamu datang dewan ini, minta maaf secara terbuka di pentas PAU 2025 ini,” tegasnya.
Datuk Dr Akmal turut menegaskan andai portal berita itu tidak hadir dan meminta maaf, pihaknya akan ke pejabat mereka.
“Nak berlembut kita boleh berlembut. Kamu cakap baik-baik, kami boleh respon baik. Tetapi kalau kamu kurang ajar, saya dan juga Pemuda boleh 100 kali kurang ajar kepada kamu,” katanya.
Terdahulu Malaysiakini sudah mengeluarkan permohonan maaf atas beberapa kesilapan grafik di media sosial portal berita itu, termasuk yang menggunakan tajuk laporan mengenai PAU pada imej yang dimaksudkan bagi laporan mengenai isu ladang babi.
Malaysiakini, dalam satu kenyataan pada 15 Januari, mengakui telah secara silap menyiarkan tiga grafik di media sosial yang dimaksudkan untuk laporan berlainan, dengan teks pada grafik tersebut tidak sepadan dengan gambar yang digunakan mahupun keterangannya.
Dua daripada grafik tersebut secara salah menggunakan tajuk artikel bahasa Melayu tentang PAU akan menjadi platform untuk Umno menentukan hala tuju.
Satu hantaran media sosial menggunakan tajuk berkaitan Umno itu, di mana ia digunakan secara salah pada grafik gambar babi di sebuah ladang.
Malaysiakini turut memadam hantaran berkenaan di media sosialnya.
“Malaysiakini memohon maaf atas kesilapan tersebut. Semakan dalaman telah dimulakan untuk memastikan kesilapan itu tidak berulang.
“Ini merupakan kesilapan yang amat dikesali, dan di Malaysiakini, kami percaya adalah menjadi tanggungjawab kami untuk mengakui dan mengambil tanggungjawab sepenuhnya perkara ini,” kata Editor Eksekutif Malaysiakini, Encik RK Anand.
Editor Malaysiakini akan hadir ke PAU pada 16 Januari, untuk bertemu pemimpin parti dan memohon maaf atas kesilapan itu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg