Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Khairy kembali ke Perhimpunan Agung Umno, kuatkan spekulasi sertai semula parti

Kehadiran bekas menteri selepas dipecat tiga tahun lalu cerminkan pengaruhnya yang masih utuh, diterima baik
Jan 15, 2026 | 4:52 PM
Malaysia, Mantan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, Perhimpunan Agung Umno 2025
Mantan Ketua Pemuda Umno, Encik Khairy Jamaluddin, ketika hadir di Perhimpunan Agung Umno 2025 pada 15 Januari. - Foto BERNAMA

Mantan Ketua Pemuda Umno, Encik Khairy Jamaluddin, yang dipecat tiga tahun lalu, kembali buat kali pertama ke Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2025 pada 15 Januari, mengundang sorakan gemuruh. Kemunculan ini sekali gus menguatkan spekulasi beliau akan menyertai semula Umno.

Sokongan padu diterima bekas menteri terbabit ketika beliau hadir ke persidangan Pemuda Umno di PAU 2025, selepas dipecat pada Januari 2023 selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), mencerminkan pengaruhnya yang masih utuh dan diterima baik dalam Umno.

Perhimpunan Agung Pemuda Umno itu dimulakan dengan ucapan dasar Ketua Pemuda, Datuk Dr Akmal Saleh.

Kehadiran menantu kepada Almarhum Tun Abdullah Ahmad Badawi, mantan Perdana Menteri Malaysia, ini menarik perhatian ramai, tatkala namanya hangat diperkatakan akan kembali menyarung baju Umno.

Ketika ditemui, Encik Khairy menjelaskan bahawa kehadirannya adalah atas jemputan Datuk Dr Akmal, dan mendapat ‘lampu hijau’ daripada Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Hari ini sangat emosional bagi saya kerana dapat pulang ke perhimpunan parti saya. 

“Semalam (14 Januari) saya berjumpa Datuk Ahmad Zahid di tahlil (mantan Perdana Menteri) Almarhum Tun Abdul Razak Hussein. Selepas bersalam dengan Datuk Ahmad Zahid, saya tanya, boleh ke saya hadir hari ini, dan beliau jawab please come (sila datang),” katanya.

Apabila ditanya apakah kehadirannya itu menandakan beliau akan kembali bersama Umno, Encik Khairy menjawab: “Insya-Allah ada benda baik selepas ini. One step at a time (selangkah demi selangkah). Hari ini saya kembali sebagai pemerhati dan insya-Allah selepas ini kita akan buat apa yang perlu,” katanya.

Hubungan dingin antara Encik Khairy dengan Datuk Ahmad Zahid bermula pada 2018, selepas Encik Khairy mencabar Timbalan Perdana Menteri itu merebut jawatan Presiden pada pemilihan Umno.

Ketegangan memuncak pada 2022 apabila Encik Khairy, yang juga mantan Ahli Parlimen (AP) Rembau (Negeri Sembilan), tidak diberi kawasan untuk bertanding dalam PRU15, apabila tempatnya diisi Timbalan Presiden Umno, Datuk Mohamad Hassan. 

Encik Khairy akhirnya terpaksa berjuang sendiri mencari kerusi pada PRU15 dengan bertanding di Parlimen Sungai Buloh (Selangor) yang bukan pilihannya, namun beliau akur tiada pilihan lain.

Encik Khairy bagaimanapun tewas di tangan calon Pakatan Harapan, Datuk Seri R Ramanan.

Walaupun dipecat daripada Umno, rasa setia yang mendalam menyebabkan beliau tidak mempertimbangkan untuk menyertai parti lain.

Sebelum ini, Datuk Ahmad Zahid, yang juga Timbalan Perdana Menteri, pernah dilaporkan berkata Umno sentiasa membuka pintu untuk menerima mana-mana bekas ahli yang berhasrat mahu menyertai semula parti itu. Pada 15 Januari, Datuk Ahmad Zahid yang ditemui di PAU2025 mengulangi kesediaan Umno yang sentiasa terbuka untuk menerima semula bekas pemimpinnya menyertai semula parti itu.

Sementara itu Datuk Dr Akmal, dalam ucapan dasar persidangan Pemuda Umno itu, mengumumkan akan meletak jawatan Exco kerajaan negeri Melaka berkuat kuasa minggu depan, namun kekal sebagai Ketua Pemuda Umno.

Beliau, yang menerima desakan daripada pemimpin Parti Tindakan Demokratik (DAP) selepas menggesa Umno keluar daripada Kerajaan Perpaduan baru-baru ini, berkata keputusan untuk meletak jawatan itu akan memberinya lebih ruang mengkritik parti dalam kerajaan.

“Apabila orang suruh saya letak jawatan, saya ini orang yang ada maruah dan akan bawa suara rakyat di bawah yang menolak DAP. Cuma saya nak beritahu, apabila saya tidak ada lagi dalam barisan Exco, saya akan lawan kamu (DAP) habis-habisan,” katanya.

Datuk Dr Akmal sebelum ini lantang mengkritik kerjasama Umno dengan DAP dan mendakwa perletakan jawatan itu selaras suara akar umbi yang menolak kerjasama itu, walaupun pucuk pimpinan parti menegaskan akan kekal dengan Kerajaan Perpaduan hingga tamat penggal.

Dalam ucapannya, Datuk Dr Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Melaka mengingatkan bahawa parti itu tidak boleh terus berada dalam sindrom penafian mengenai penolakan pengundi terhadap Umno, dan menganggap kedudukan Umno dalam kerajaan dapat mengembalikan kepercayaan rakyat.

“Kalau kita anggap menjadi kerajaan boleh bantu kita menang pilihan raya, Umno tak akan kalah pada PRU14 ketika Datuk Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri. Umno boleh jatuh jika parti hilang kuasa, tetapi parti akan mati kalau kita hilang prinsip perjuangan,” katanya.

Selain persidangan Pemuda, turut diadakan pada 15 Januari ialah persidangan sayap Wanita dan Puteri Umno.

Ketua Wanita Umno, Datuk Dr Noraini Ahmad, dalam ucapan perasmian persidangan Wanita berkata, kerjasama politik Umno bersama PH pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam Kerajaan Perpaduan selepas PRU15 tidak bermakna parti itu bersetuju menjadi ‘pak turut’.

Beliau menegaskan sepanjang lebih tiga tahun berada dalam Kerajaan Madani, Umno mengamalkan politik matang, berani berhadapan, menetapkan garis merah serta mempertahankan agama, bangsa dan prinsip Raja Berperlembagaan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg