Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Umno-PAS boleh kerjasama bergantung keadaan

Naib Presiden Umno berkata tidak mustahil bagi kedua-dua parti duduk bersama semula pada masa akan datang
Jan 14, 2026 | 2:41 PM
Naib, Presiden, Umno, PAS
Naib Presiden Umno, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, ketika berucap semasa Majlis Konvokesyen Ke-2 Sekolah Patriotik Umno di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), pada 13 Januari. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Naratif bahawa Umno tidak boleh bekerjasama dengan Parti Islam SeMalaysia (PAS), bukan satu keputusan mandatori, sebaliknya bergantung keadaan dan situasi politik pada masa depan, kata Naib Presiden Umno, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Datuk Wan Rosdy berkata walaupun Umno dilihat pernah ‘berpatah arang’ dengan PAS sebelum ini, namun, tidak mustahil bagi kedua-dua parti boleh duduk bersama semula pada masa akan datang.

“Saya setuju dengan apa yang dikatakan Presiden (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) sebelum ini, kita kalau nak kena tipu biarlah sekali sahaja jangan sampai dua kali.

“Tapi dalam politik apa pun boleh berlaku, tidak mustahil (kerjasama dengan PAS), sebab itu Presiden kata jangan tutup pintu serapat-rapatnya, namun dalam masa sama jangan buka seluas-luasnya.

“Maknanya, bukan mandatori kita dengan PAS tidak boleh kerjasama. Ia bergantung kepada keadaan dan situasi,” katanya lapor Berita Harian Malaysia selepas merasmikan Majlis Konvokesyen Ke-2 Sekolah Patriotik Umno di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), sempena Perhimpunan Agung Umno 2025, pada 13 Januari.

Sebelum ini wujud desakan agar Umno dan PAS menghidupkan kembali Muafakat Nasional (MN) selepas Perikatan Nasional (PN) yang antaranya dianggotai PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilihat bergolak.

Namun Datuk Ahmad Zahid berkata parti itu tidak mahu mengulangi kesilapan lalu dalam menjalin kerjasama dengan mana-mana parti pembangkang ketika ini.

Mengenai kenyataan Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Akmal Saleh, bahawa Umno perlu keluar daripada Kerajaan Perpaduan, Datuk Wan Rosdy menganggap ia lebih kepada tindakan emosi semata-mata.

Namun Datuk Wan Rosdy berkata sebarang pandangan daripada pemimpin yang ditolak kepimpinan parti, tidak semestinya melambangkan apa yang diperjuangkan itu adalah salah.

Pada masa sama, Datuk Wan Rosdy menekankan kepentingan untuk Umno mempunyai kuasa bagi membantu rakyat kerana jika berada di luar kerajaan, parti tidak mempunyai platform bagi tujuan berkenaan.

Beliau berkata rakyat sudah melihat manfaatnya apabila Umno berada dalam Kerajaan Perpaduan.

“Kalau kita di luar kerajaan. Apa yang kita boleh buat? Kita tidak boleh buat apa-apa kerana tiada peruntukan, tiada kuasa, tiada duit, tiada platform untuk kita membantu rakyat.

“Sebaliknya (tanpa kuasa) kita hanya boleh menyuarakannya saja seperti istilah budak-budak muda, apabila tiada kuasa, hanya mampu ‘sembang kari’ sajalah. Kita tidak boleh buat apa-apa,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg