KUALA LUMPUR: Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sudah mengadakan pertemuan bersama Ketua Pemudanya, Datuk Dr Akmal Saleh, pada 13 Januari, yang didakwa mahu meletak jawatan dalam parti dan kerajaan.
Datuk Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata ketika pertemuan berlangsung beliau ada menitipkan pesanan dan nasihat terbaik untuk dipertimbangkan Dr Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau (Melaka).
Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu bagaimanapun enggan mendedahkan perincian perbincangan beliau bersama Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka itu.
“Pertemuan (bersama Dr Akmal) sudah berlangsung (di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, WTCKL).
“Saya ada memberikan nasihat terbaik kepadanya dan Dr Akmal akan mengumumkan (hasil perbincangan) esok (14 Januari),” katanya, lapor Harian Metro.
Pada 12 Januari, Dr Akmal dilaporkan berkata beliau akan akur dengan keputusan dibuat oleh Datuk Ahmad Zahid dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berhubung kedudukan jawatan disandangnya ketika ini.
Ini kerana kededua pihak terbabit sebelum ini memilih beliau untuk bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) dan melantiknya sebagai Exco kerajaan negeri Melaka.
Media Malaysia sebelum ini melaporkan, Dr Akmal memberi bayangan untuk berundur daripada dua jawatan disandangnya ketika ini selepas gesaan supaya Umno keluar daripada Kerajaan Perpaduan mendapat reaksi negatif daripada Datuk Ahmad Zahid.
Dr Akmal dalam hantaran di Facebook beberapa hari lalu menyatakan akan mengumumkan kedudukannya dalam parti dan kerajaan pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2025, yang bermula 14 hingga 17 Januari.
Pada Konvensyen Pemuda Umno baru-baru ini, beliau lantang mengulangi desakan untuk Umno keluar daripada Kerajaan Perpaduan.
Ia menyusuli beberapa perkembangan politik semasa, termasuk apa yang dikatakan penghinaan oleh rakan dalam Kerajaan Perpaduan iaitu pemimpin Parti Tindakan Demokratik (DAP), mengenai kes bekas Perdana Menteri dari Umno yang dipenjarakan, Encik Najib Tun Razak.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg