Topik diikuti
Pergi ke BHkuPendakwah bebas ditahan SPRM, disyaki seleweng dana NGO RM12.3j
Pendakwah bebas ditahan SPRM, disyaki seleweng dana NGO RM12.3j
Pendakwah bebas ditahan SPRM, disyaki seleweng dana NGO RM12.3j
KUALA LUMPUR: Seorang pendakwah bebas ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan. Beliau disyaki menyalah guna kuasa dan menyeleweng dana sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bernilai kira-kira RM12.3 juta ($3.95 juta) untuk kepentingan diri.
Menurut sumber, lelaki berusia lingkungan 30-an tahun itu ditahan kira-kira 8 malam pada 21 April, ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Negeri Sembilan.
Suspek kemudian dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban, Negeri Sembilan, pada 22 April, untuk mendapatkan perintah tahanan reman.
Majistret Sara Afiqah Zulkifli membenarkan suspek direman sehingga 26 April, bagi membantu siasatan kes.
“Siasatan awal mendapati suspek yang juga merupakan pengerusi NGO disyaki melakukan perbuatan tersebut pada September 2022 hingga kini.
“Suspek dipercayai telah menyalahgunakan jawatan dan bersubahat bersama dua ahli jawatankuasa yang lain dengan memindahkan wang berjumlah kira-kira RM12.3 juta ke dalam akaun bank miliknya dan lapan lagi syarikat miliknya,” katanya, menurut laporan di laman web Astro Awani.
Menyusuli siasatan, SPRM Negeri Sembilan membekukan 15 akaun yang terdiri daripada tiga akaun bank persendirian, tiga akaun bank NGO dan sembilan akaun bank syarikat dengan nilai berjumlah kira-kira RM16.5 juta.
SPRM turut menyita wang tunai sebanyak RM6,576 serta mata wang asing Riyal 95,568 dan Dolar Singapura $795.
Selain itu, tiga jam tangan bernilai kira-kira RM5,000; tiga beg tangan (RM3,000); lima gelang tangan (RM26,000); sebentuk cincin (RM2,000); seutas rantai (RM7,000); dan 51 keping emas seberat satu gram (RM31,000) turut disita.
Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Encik Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail, mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Dalam perkembangan lain, Berita Harian Malaysia melaporkan, SPRM mengesahkan nilai keseluruhan rampasan aset melalui Op Sutra membabitkan tiga individu, termasuk timbalan pengerusi sebuah NGO yang menyeleweng dana sumbangan setakat ini mencecah RM8.73 juta.
Menerusi laman TikTok rasminya pada 22 April, SPRM mendedahkan 18 kenderaan, termasuk kenderaan mewah dari lapan jenama, telah disita. Antara yang paling mahal ialah sebuah Range Rover bernilai RM1.2 juta.
Kenderaan lain yang disita termasuk dua Mercedes-Benz, masing-masing tiga Porsche, Honda, dan Toyota, empat Lexus, serta masing-masing satu Proton dan motosikal SM Sports. Nilai keseluruhan kenderaan yang dirampas adalah RM7.36 juta.
Pada 22 April, timbalan pengerusi NGO itu bersama seorang pengarah syarikat ditahan reman hingga 25 April, bagi membantu siasatan berhubung kes penyelewengan dana zakat RM230 juta itu.
Siasatan awal dalam kes itu mendapati kededua suspek, disyaki bersubahat melakukan perbuatan itu antara tahun 2018 hingga 2024 dan timbalan pengerusi NGO terbabit dikatakan sudah memindahkan RM230 juta ke dalam akaun syarikatnya bagi tujuan pelaburan dan peribadi.
