Pendedahan mengenai siri kepincangan tadbir urus dan kerugian yang dialami Tabung Haji (TH), sebuah institusi di Malaysia yang diiktiraf dunia Islam sebagai antara badan pengurusan haji paling cekap, mengejutkan kira-kira 10 juta penyimpannya.

Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi Lembaga TH dari 2014 hingga 2020 telah dinyahklasifikasikan kerajaan pada 29 Julai lalu sebelum dibentangkan dan dibahaskan dalam Persidangan Khas di Dewan Rakyat pada 11 Ogos.

RCI mengenai TH itu dimulakan pada 2021 ketika kerajaan di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebelum Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menerima laporannya pada 2022.

Tetapi penerbitannya untuk semakan umum ditangguhkan, bagi membolehkan proses penstabilan kedudukan kewangan dan operasi TH dilaksanakan tanpa menimbulkan keresahan pendeposit.

Laporan setebal 211 halaman itu antara lain mendedahkan kedudukan kewangan Lembaga TH berada dalam keadaan kritikal pada 2017 dengan kerugian bersih RM1.4 bilion ($440 juta), namun direkodkan sebagai keuntungan sebanyak RM3.4 bilion seperti yang dilaporkan dalam penyata kewangannya.

Menurut RCI, tindakan mengisytiharkan agihan keuntungan tahunan sebanyak 4.50 peratus dan agihan keuntungan (hibah) haji 1.75 peratus yang menelan perbelanjaan sehingga RM2.75 bilion pada tahun itu, sedangkan TH mengalami kerugian, menjadi antara faktor yang menyumbang kepada krisis kewangan.

Kerajaan juga terpaksa menyelamatkan TH dengan suntikan kewangan sekitar RM10 bilion pada 2018, bagi memulihkan kedudukan kewangan dan menyelamatkan institusi itu daripada risiko ketakmampuan bayar, sekali gus memastikan memelihara kepentingan pendeposit TH.

TH dilaporkan membayar agihan hibah kepada pendeposit pada 2014 hingga 2017, walaupun nilai asetnya didapati kurang daripada jumlah liabiliti yang ditanggung.

Malah, kajian semula kewangan mendapati TH mempunyai aset berjumlah RM70.3 bilion berbanding liabiliti RM74.4 billion.

Ketika menggulung perbahasan laporan RCI TH itu di Dewan Rakyat pada 11 Ogos, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata tujuh daripada 14 pelaburan bermasalah dibuat Lembaga TH mengalami kerugian 100 peratus.

Kesilapan akibat salah laku kewangan dan pelaburan oleh pemimpin ketika itu katanya menyebabkan TH terpaksa menanggung kerugian dianggarkan hampir RM13 bilion.

Walaupun RCI telah didedahkan kepada umum, malah 25 syor penambahbaikan TH telah dicadangkan dengan kerajaan memaklumkan kira-kira 75 peratus daripadanya telah dilaksanakan, tindakan seterusnya selepas pelbagai kelemahan dalam pengurusan dan tadbir urusnya diketahui, masih menjadi persoalan.

Pemerhati dan penganalisis menggesa tindakan lanjut diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab, dengan menegaskan pertimbangan politik tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menangguhkan tindakan atas nama memastikan kestabilan Kerajaan Perpaduan ketika ini.

Penganalisis ekonomi daripada Pusat Antarabangsa Pendidikan Kewangan Islam (INCEIF), Profesor Dr Baharom Abdul Hamid.
Penganalisis ekonomi daripada Pusat Antarabangsa Pendidikan Kewangan Islam (INCEIF), Profesor Dr Baharom Abdul Hamid. - Foto ihsan BAHAROM ABDUL HAMID

Penganalisis ekonomi daripada Pusat Antarabangsa Pendidikan Kewangan Islam (INCEIF), Profesor Dr Baharom Abdul Hamid, berkata pendedahan RCI mengenai pelbagai kepincangan dalam pengurusan dan keputusan pelaburan TH perlu dijadikan asas untuk memastikan institusi berkenaan kembali kepada tujuan asalnya sebagai wadah simpanan umat Islam bagi menunaikan ibadah haji, bukannya dipengaruhi kepentingan politik.

“Sebagai seorang Muslim, penabung dalam Tabung Haji dan juga penganalisis ekonomi, saya harapkan pendedahan ini bukan lip service (cakap kosong), bukan sekadar mengumumkan (kepincangan) hari ini tetapi esok dilupakan. Tindakan segera perlu diambil terhadap pihak bertanggungjawab.

“Kalau RCI sudah menggariskan pelanggaran tadbir urus yang besar, tunjukkan bahawa kita serius untuk melakukan reformasi dan telus dengan mendakwa mereka yang terlibat,” katanya.

Menurut beliau, antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah dakwaan penyalahgunaan kedudukan politik dalam pengurusan TH, selain keputusan pelaburan yang dibuat tanpa penelitian sewajarnya sehingga menyebabkan kerugian besar.

Beliau merujuk antara lain kepada pelaburan membabitkan Al Rawdah Group berkaitan pajakan bangunan di Makkah yang menurutnya akhirnya menyebabkan TH tidak menerima bayaran dan kira-kira RM1.4 bilion menjadi hutang lapuk.

“Siapa yang membuat keputusan ini? Maka orang itu harus dipertanggungjawabkan.

“Dahulu orang yang ketika itu berada di pentas mengumumkan pelaburan ini dengan bangga di televisyen dan akhbar, tetapi hari ini apabila timbul masalah, ada yang menafikan mereka membuat keputusan.

“Jangan apabila berlaku masalah, semua mahu cuci tangan,” kata Zamil Ekonomi dan Perniagaan, The Future Research itu kepada Berita Harian (BH).

Profesor Baharom turut membangkitkan persoalan mengenai beberapa keputusan pelaburan lain, termasuk yang didakwa mempunyai kaitan dengan syarikat yang mempunyai hubungan dengan ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low, serta pembelian hartanah di Tun Razak Exchange (TRX).

Malah, beliau kesal dengan kepimpinan TH ketika itu yang didakwanya menggunakan creative accounting (perakaunan kreatif) untuk merekodkan keuntungan, walaupun sebenarnya mengalami kerugian, demi kepentingan politik.

“Bagaimana creative accounting telah dilakukan tanpa mengira nasib generasi pada masa akan datang, apabila keuntungan ‘direka’ untuk membolehkan mereka bayar hibah yang tinggi agar dapat sokongan rakyat untuk kekal berkuasa?

“Walaupun creative accounting adalah sah dari segi undang-undang, tetapi matlamat tidak menghalalkan cara,” ujarnya.

Profesor Baharom turut menyentuh mengenai pendedahan mengejutkan oleh Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah, yang mendakwa ada menteri Umno (kini mantan) menyalahgunakan kedudukan dengan membawa ketua cawangan Umno di Kedah, ke Makkah, demi mendapatkan sokongan politik.

Untuk itu, beliau menekankan kepentingan untuk TH diterajui golongan karyawan dan bebas daripada campur tangan politik, termasuk dalam pelantikan pengerusi serta anggota lembaga pengarahnya.

Profesor Baharom berkata andai kesilapan tadbir urus itu tidak berlaku, TH tentunya dapat memberi lebih banyak manfaat kepada penyimpannya, terutama mereka yang mahu menunaikan haji.

“Mungkin jika ini semua tidak berlaku TH boleh beri lebih besar bonus dan turunkan lagi kos haji,” katanya.

Beliau berkata sejarah penubuhan TH bermula dengan konsep koperasi sebagai wadah tabungan untuk umat Islam menabung untuk mengerjakan haji, sebelum ia berkembang sebagai portfolio pelaburan yang besar bagi menjana pulangan kepada pendeposit.

“Justeru konsep TH ini sama dengan konsep koperasi di mana ahli koperasi menerima labanya, bukannya lembaga pengarah.

“Apa yang berlaku sekarang ialah kos haji makin meningkat, tetapi lembaga pengarah pula bonus berbulan-bulan,” katanya.

Penganalisis sosiopolitik daripada Universiti Malaya, Profesor Datuk Dr Awang Azman Awang Pawi.
Penganalisis sosiopolitik daripada Universiti Malaya, Profesor Datuk Dr Awang Azman Awang Pawi. - Foto fail TVS

Penganalisis sosiopolitik daripada Universiti Malaya, Profesor Datuk Dr Awang Azman Awang Pawi, juga tegas bahawa laporan RCI TH tidak seharusnya berakhir sebagai laporan yang hebat dibahaskan di Parlimen, tetapi lemah dari segi tindakan.

Sebaliknya beliau berkata segala siasatan dan kemungkinan pendakwaan perlu dibuat secara profesional, telus serta berasaskan bukti.

“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi berkaitan perlu menjalankan siasatan secara bebas terhadap perkara yang dibangkitkan RCI, tanpa mengira kedudukan atau latar belakang politik individu terbabit.

“Pendakwaan juga tidak seharusnya dilakukan secara terpilih atau bermotifkan politik, sebaliknya perlu berasaskan bukti kukuh supaya kes mampu dipertahankan di mahkamah. Matlamatnya ialah keadilan dan pemulihan institusi, bukan pembalasan politik,” katanya kepada BH.

Berdasarkan perkembangan terkini, SPRM sejauh ini dilaporkan sudah membuka 14 kertas siasatan, menyerbu sekurang-kurangnya 28 premis yang membawa kepada sitaan pelbagai dokumen dan tujuh tangkapan suspek, selain 115 individu sudah dipanggil untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan.

Profesor Awang Azman juga melihat keyakinan pendeposit terhadap TH mungkin belum runtuh, tetapi sudah diuji dan tercalar, mengambil kira kedudukan institusi itu yang bukan sekadar sebuah institusi kewangan, malah berkait rapat dengan aspirasi umat Islam untuk menunaikan ibadah haji.

Bagaimanapun, beliau berkata reformasi yang dilaksanakan selepas 2018 dilaporkan telah memperbaiki kedudukan kewangan, tadbir urus dan mutu pelaburan TH.

“Kepercayaan tidak dipulihkan melalui kenyataan media semata-mata. Pendeposit perlu melihat ketelusan, prestasi kewangan yang mampan serta tindakan terhadap pihak yang benar-benar terbukti melakukan kesalahan,” katanya.

Beliau berkata bagi mengelakkan episod sama berulang, TH perlu beralih daripada sistem yang terlalu bergantung kepada individu kepada institusi yang dikawal melalui undang-undang serta mekanisme semak dan imbang yang kukuh.

Menurutnya keputusan pelaburan perlu melalui ketelitian wajar (due diligence) yang bebas dan profesional, manakala lembaga serta jawatankuasa pelaburan perlu mempunyai autonomi dan kebertanggungjawaban yang jelas.

Profesor Awang Azman juga melihat keperluan penting untuk TH bebas daripada campur tangan politik, termasuk menjadi instrumen mana-mana parti atau kerajaan.

“Menteri memang mempunyai tanggungjawab dasar dan akauntabiliti kepada Parlimen, tetapi keputusan komersial, pelaburan dan operasi profesional tidak sepatutnya ditentukan oleh kepentingan politik.

“RCI sendiri mengenal pasti jika ada campur tangan politik dalam pengurusan sebagai antara isu tadbir urus yang perlu diberi perhatian.

“Prinsipnya mudah, ahli politik menetapkan dasar dan bertanggungjawab kepada rakyat, profesional mengurus institusi berdasarkan undang-undang, data dan kepentingan pendeposit,” katanya.

Pakar Ekonomi Universiti Tun Abdul Razak (UniRAZAK), Profesor Emeritus Barjoyai Bardai.
Pakar Ekonomi Universiti Tun Abdul Razak (UniRAZAK), Profesor Emeritus Barjoyai Bardai. - Foto fail

Sementara itu, Pakar Ekonomi Universiti Tun Abdul Razak (UniRAZAK), Profesor Emeritus Barjoyai Bardai, melihat beberapa pembaharuan penting yang perlu dilakukan TH.

Menurut beliau, aspek paling kritikal ialah tadbir urus dan pengurusan pelaburan.

“Dalam institusi yang mengurus dana berskala sangat besar, keputusan pelaburan tidak boleh terlalu bergantung kepada individu tertentu, hubungan atau pertimbangan jangka pendek. Ia mesti berasaskan proses yang jelas, profesional dan boleh diaudit,” katanya.

Jelas beliau, antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah pemisahan yang jelas antara kuasa politik, lembaga dengan pengurusan profesional; pengurusan risiko yang bebas dan berkuasa serta kebertanggungjawaban yang jelas apabila keputusan pelaburan gagal.

Presiden pertubuhan Islam Malaysia, IKRAM, Encik Badlishah Sham Baharin.
Presiden pertubuhan Islam Malaysia, IKRAM, Encik Badlishah Sham Baharin. - Foto LAMAN WEB IKRAM

Dalam pada itu, Presiden pertubuhan Islam Malaysia, IKRAM, Encik Badlishah Sham Baharin, menggesa agar semua saranan dalam laporan RCI TH dilaksanakan segera, agar keyakinan pendeposit dan orang awam dipulihkan dengan sempurna.

Beliau melihat keyakinan pendeposit terhadap TH sekarang ini masih utuh dengan sehingga akhir Mei 2026, jumlah deposit dalam TH mencapai RM95.3 billion ringgit.

“Maka pengurusan, pelaburan dan keputusan penting perlu dibuat secara profesional, telus dan bertanggungjawab.

“Ukuran sebenar reformasi ialah sama ada kelemahan yang telah dikenal pasti benar-benar diperbaiki dan tidak berulang,” katanya.